Tuesday, January 27, 2015

Bangi: Bangi Care bina 6 rumah sehari

.
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Nal Kuala Krai yang dilanda banjir besar tempoh hari akan menduduki rumah pasang siap yang diusahakan oleh Pejabat Adun Bangi dengan kerjasama Bangi Care serta Jabatan Amal Malaysia Kawasan Serdang dalam masa terdekat.

Sebanyak enam buah rumah berjaya didirikan dalam tempoh sehari oleh 15 anggota Unit Amal bersama lebih 10 ahli PAS kawasan serta penduduk di kampung terbabit.

Menurut Komander Amal Serdang, Shehdi Hazrik, kerja-kerja pemasangan rumah berkenaan bermula pada 25 Januari lalu dan dilakukan sawal jam 9.00 pagi sehinggalah jam 9.00 malam.
"Sebahagian anggota Amal Kawasan Serdang pula telah dikerahkan untuk membantu sukarelawan membersihkan rumah-rumah mangsa di Dabong," katanya kepada Harakahdaily.

Sejumlah RM90,000 sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk cawangan-cawangan PAS Kawasan Serdang, Pasti Dewan Pemuda Serdang, Dewan Muslimat Serdang serta badan-badan NGO telah diterima oleh Bangi Care bagi mendirikan 6 unit rumah semi D berkeluasan 10 x 25 seunit itu.

Rumah tersebut telah diberikan kepada mangsa banjir yang terdiri daripada warga emas dan keluarga yang baru menerima kelahiran pada hari ini.
Perasmian dan penyerahan kunci disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Tempatan Kerajaan Negeri Kelantan mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Turut bersama ialah Adun Bangi, Shafie Ngah serta Nazir Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi, Mohd Napiah Sahrani selaku penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM40,000.

Dianggarkan kos bernilai RM2.7 juta diperlukan bagi menempatkan kediaman ini di Kampung Kuala Nal, sebuah rumah berkeluasan 700 kaki persegi yang menempatkan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air berharga RM48,000 seunit. - HARAKAHDAILY 26/1/2015

No comments:

Post a Comment