Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 
  •  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)
SIBU - Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) digesa supaya jangan terlalu bimbang tentang Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang ditubuhkan oleh bekas rakan seperjuangan mereka Datuk Seri Wong Soon Koh.

Sebaliknya, mereka perlu terus bersatu dan bekerja keras untuk merampas kembali kerusi yang SUPP tewas pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011.
"Jangan bimbang tentang parti baharu itu. SUPP ialah parti politik yang paling lama berkhidmat kepada rakyat," kata Bendahari Agung SUPP Ding Kuong Hiing.

Bekas Ahli Parlimen Sarikei itu berkata, apa yang paling penting sekarang bagi anggota SUPP ialah bekerja keras kerana "kita melihat tanda-tanda bahawa pengundi kaum Cina akan kembali menyokong BN".

Kuong Hiing berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelantikan anggota Jawatankuasa Belia, Wanita dan Warga Emas SUPP cawangan Bukit Assek di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan peralihan semula sokongan pengundi kaum Cina kepada BN adalah hasil dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang mengambil alih daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari tahun lepas.   

"Ketua Menteri kita, beliau amat berfikiran terbuka, beliau benar-benar Ketua Menteri berjiwa rakyat. Beliau telah membantu SUPP menangani isu-isu berkaitan dengan sekolah-sekolah Cina, membantu dalam isu agama dan melaksanakan banyak dasar yang membantu rakyat semua kaum di negeri ini," kata beliau.
Kuong Hiing yakin masyarakat Cina akan menghargai usaha Adenan dan kembali menyokong SUPP dan BN.

Pengerusi Barisan Nasional bagi kawasan parlimen Lanang, Chieng Buong Toon yang hadir pada majlis pelantikan itu berkata, penubuhan cawangan SUPP Bukit Assek menandakan bermulanya era baharu bagi parti itu di sini.
"Ini membolehkan kami mengambil lebih ramai anggota untuk berkhidmat kepada rakyat," kata beliau dan menambah parti itu sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 yang dijangka pada pertengahan Jun 2016.

Cawangan itu mempunyai kira-kira 750 anggota termasuk kira-kira 300 dari sembilan rumah panjang suku kaum Iban di kawasan itu.
Buong Toon dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Pusat sebagai pengerusi jawatankuasa penaja untuk menganjur satu jawatankuasa bagi membantu penubuhan Cawangan Bukit Assek selepas Wong, pengerusi cawangan Sibu mengumumkan beliau telah keluar parti untuk menyertai Parti Teras pada 15 Mei tahun lepas.
 
Soon Koh, anggota dewan undangan negeri Bawang Assan, kemudian meninggalkan Teras dan menubuhkan UPP yang pendaftarannya dilukuskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada Julai tahun lepas.
 
Walaupun beberapa ahli parti telah keluar parti bersama Soon Koh, Buong Toon yang dipilih sebagai pengerusi Cawangan Bukit Assek pada September tahun lepas, menggesa baki ahli parti melupakan perkara yang sudah lepas dan menumpukan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat.
 
Kemelut dalaman SUPP menyebabkan parti itu kehilangan 13 daripada 19 kerusi Dun yang ditandingi pada pilihan raya negeri ke-10. - Bernama