Tuesday, January 27, 2015

Mungkin Hadi tiada maklumat, kata PasMa

27 Jan 2015
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan tetap memberikan sokongan kepada agenda pembangkang walaupun bertentangan dengan haluan PAS.

Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus sedar PasMa ditubuhkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), lapor Utusan Malaysia.

Malah katanya PasMa tiada hubung kait dengan gerakan politik oleh itu tidak memberi sebarang ancaman terhadap PAS.

“Tafsiran yang dibuat oleh Abdul Hadi terhadap PasMa itu cerita lama, mungkin beliau tiada maklumat.

“PasMa ini bukan semuanya ahli PAS, agenda kita untuk sokong pakatan pembangkang. Tak tahulah mengapa PAS ambil berat sangat,” Phahrolrazi (kanan) dilaporkan sebagai berkata.

Hadi kelmarin dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya memberi amaran supaya PasMa tidak merosakkan 'bahtera' PAS serta mengumpamakan NGO itu sebagai penebuk kapal.

Malah Hadi meminta ahli-ahli pertubuhan itu meninggalkan PAS jika tidak lagi sehaluan dengan parti.

Jelas Phahrolrazi, PasMa telah mengadakan perbincangan dengan semua parti dalam pakatan pembangkang sejak lima bulan lalu dan pertubuhan itu tidak menghadapi sebarang masalah dengan DAP serta PKR.

“Cuma PAS ada sedikit masalah apabila parti itu mengeluarkan larangan kepada ahli-ahlinya untuk menyertai PasMa,” Phahrolrazi dilaporkan sebagai berkata.
 Malaysiakini

No comments:

Post a Comment