Saturday, January 31, 2015

Rosak politik kerana anggap peluang dapat harta

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .
KUALA NERUS: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kefahaman terhadap politik hari ini telah rosak apabila menganggap itu peluang dan bukan sebagai amanah.
Sedangkan, katanya ajaran Islam menetapkan politik itu merupakan satu amanah yang besar dalam memimpin negara.

“Politik adalah memimpin negara. Islam mengajar memimpin negara adalah amanah yang besar.
“Tiba-tiba orang menjadikan memimpin negara, memimpin kerajaan bukan amanah tetapi peluang untuk mendapat harta. Peluang untuk memberi kesenangan kepada kroni-kroni dan pengikut-pengikut, bukan menunaikan amanah.

“Memilih pemimpin dengan duit bukan kerana kebolehan dia menunaikan amanah. Politik sudah rosak kerana orang menganggap ia (politik) itu peluang, bukan amanah,” tegasnya ketika berucap merasmikan Himpunan Harapan Semua (HARAP) 3.1 di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, malam tadi.

Menurutnya, Islam merupakan penyelesaian segala masalah kerana Islam itu adalah ajaran agama dan politik.
“Politik adalah amanah dan kita wajib menukar (pemikiran) masyarakat kita supaya memahami, memilih pemimpin itu satu amanah,” jelasnya di hadapan ribuan hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa PAS amat menghargai pelbagai kaum yang terdapat dalam negara ini.
Katanya, orang Melayu perlu bangkit bersama-sama dengan kaum lain yang berani membuat perubahan politik sebagai satu amanah.

“Perubahannya ialah menjadikan politik sebagai satu amanah untuk memberi rahmat kepada kita semua dan bukan peluang untuk mendapat duit,” ujarnya.
Tema penganjuran program HARAP 3.1 tersebut ialah 'PAS Harapan Semua' bagi menjana momentum ‘mood’ rakyat agar membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Terengganu, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran GK. - HARAKAHDAILY 31/1/2015

No comments:

Post a Comment