KUALA LUMPUR:
Banjir di Negeri Kelantan walaupun meninggalkan kesan yang perit dan
memusnahkan ribuan kediaman serta harta benda yang lain, namun dari
sudut lain ia menjadi lokasi transit dan bertandangnya ramai sukarelawan
dari dalam dan luar negara membawa bantuan serta bekalan.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, hal sebegitu sedikit sebanyak menjadi pengubat kepada bebanan yang ditanggung.
"Sebelum ini saya telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah
mengambil tanggungjawab untuk membina 600 unit rumah tiga bilik
berukuran 800 kaki persegi kepada mangsa banjir yang musnah rumah mereka
seratus peratus (total loss)," ujarnya dalam satu kenyataan.
Hari ini, jelasna pihak kerajaan negeri telah memulakan kerja membina
rumah kekal kepada mangsa banjir di Berangan Mek Nab, Machang yang
telah dimasyhurkan dengan nama Desa Rahmat dalam jumlah 50 unit rumah.
Rumah kekal itu, ujar beliau adalah percuma untuk rakyat yang menjadi mangsa banjir dan rumah mereka musnah keseluruhannya.
"Insya Allah dengan kekuatan agensi kerajaan negeri yang ada kita
pastikan sejumlah 600 unit dapat dibina dengan jayanya," uja beliau.
Dalam masa yang sama, jelas beliau kerajaan negeri turut mengenal
pasti rumah-rumah yang masih boleh didiami yang mengalami kemusnahan
harta benda untuk dibaiki semula dengan diselaraskan dalam mesyuarat
Jawatankuasa Khas Banjir yang dipengerusikan bersama oleh kerajaan
negeri dan Pusat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik
rumah tersebut. - HARAKAHDAILY 21/1/2015
No comments:
Post a Comment