• Awas remaja ketuk cermin kereta
KUALA TERENGGANU – Awas! Senario pengemis mengetuk cermin kereta semasa anda berada di tempat letak kereta kini mula menular  di Bandaraya Kuala Terengganu.

Lebih menghairankan remaja yang berlagak pengemis itu seperti normal, tiada kecacatan anggota badan malah berpakaian bersih, lengkap bertudung dan membawa beg tangan.

Sinar Harian difahamkan, remaja tersebut akan minta RM2 sahaja dan sekiranya wang diberikan tidak mencukupi dia akan mengetuk berkali-kali sehingga dapat apa yang diperoleh.

Tinjauan di lot parkir di hadapan Pasar Besar Kedai Payang dekat sini mendapati remaja perempuan  terbabit aktif melakukan aktiviti mengemis jam 10 hingga 11 pagi.

Seorang mangsa, Naziah Mustafa, 37, yang ditemui selepas wanita itu didekati pengemis terbabit berkata, dia didatangi remaja perempuan ketika baru sahaja memarkir keretanya di hadapan Pasar Besar Kedai Payang,

“Saya masa itu nak cepat, dia berdiri di sisi kereta sambil ketuk cermin beberapa kali dan menadah tangan.. saya bagi dia RM1 tapi dia berikan isyarat minta tambah.. bila bagi RM2 baru dia beredar.

"Saya dapati dia juga mendekati kereta lain dan melakukan perkara serupa namun saya tak tahulah mereka bagi ke tak duit kepada remaja itu," katanya.

Kata Naziah, dia tidak pernah alami kejadian seperti itu dan takut berhadapan situasi itu, bimbang jika remaja berkenaan bertindak agresif sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk mendekati remaja itu tidak berjaya kerana dia terlebih dahulu melarikan diri.

Lebih bahaya dari pengemis kaki lima

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Terengganu, Zainal Omar apabila ditanya berhubung senario tersebut, beliau kata, keadaan itu lebih bahaya berbanding pengemis di kaki lima.

"Remaja itu seakan mengugut dan menimbulkan ketakutan kepada individu yang ditemui," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat peminta sedekah sebegini terus berhubung dengan pihaknya.

Zainal khuatir berlaku sesuatu yang tidak diingini sekiranya ada yang tidak memberi apa yang diinginkan remaja berkenaan.

“Dia (pengemis itu) seolah-olah memberi ugutan dan boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai, berbanding pengemis yang duduk di kaki lima yang hanya meraih simpati.

“Kita (JKM) sentiasa mempergiatkan operasi bagi membanteras pengemis dan gelandangan yang berkeliaran di Bandaraya Kuala Terengganu bagi memastikan bandar raya ini bersih,” katanya.


Dana cukup untuk bantu pengemis

Menurut beliau, pihaknya optimis dalam usaha mengurangkan kutu raya di bandar raya ini dari masa ke masa dengan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, isu pengemis di negeri ini tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dan tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh agensi kerajaan terlibat.

Menurutnya, walaupun persepsi masyarakat terhadap tindakan penguatkuasaan menghalang mereka melakukan aktiviti mengemis sebagai tindakan kejam, namun, kita sebenarnya mempunyai peruntukan mencukupi untuk membantu mereka.

“Selain kerajaan pusat, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) juga punyai dana yang mencukupi untuk bantu golongan sebegini.

“Jika mereka tiada tempat tinggal, kita mempunyai rumah perlindungan orang tua dan kanak-kanak,” katanya.