
KUALA LUMPUR, 22 FEB – Pembunuh Altantuya Shaariibuu yang kini dalam
pelarian di Australia, Sirul Azhar Umar, digesa menyatakan kebenaran
tentang apa yang telah terjadi di sebalik kes pembunuhan tersebut.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyatannya menggesa Sirul
untuk benar-benar menyesali apa yang telah berlaku serta membantah
hukuman mati terhadapnya dalam keadaan dalang pembunuhan tersebut masih
bebas.
“Sirul patut berhenti bersembunyi dan melarikan diri seperti yang
dibuatnya sepanjang sembilan tahun lalu dan menyatakan pendirian secara
jujur dan benar mengenai pembunuhan pada tahun 2006 itu,” ujar Kit
Siang.
“Masanya telah tiba untuk Sirul membuat pengakuan awam mengenai akuan
salahnya kepada pihak polis pada 9 November 2006,” tambah Ahli Parlimen
Gelang Patah itu lagi.
Pengakuan salah Sirul dalam percakapan beramaran yang dirakamkan
ketika siasatan tidak dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan Sirul
pada Julai 2007.
“Sirul mesti mendedahkan sekarang sama ada pengakuannya itu adalah benar atau sebaliknya,” kata Kit Siang lagi.
Pada 3 Februari 2009, Sirul memberitahu mahkamah bahawa beliau
merupakan ‘kambing hitam’ yang perlu dikorbankan demi melindungi
pihak-pihak tertentu yang tidak dihadapkan ke mahkamah untuk memberi
keterangan.
Pada 9 November 2006, dalam percakapan beramarannya kepada polis,
Sirul menyatakan bahawa rakannya Azilah Hadri yang turut didapati
bersalah membunuh Altantuya pernah menyebut tentang ganjaran antara
RM50,000 ke RM100,000 sekiranya kes tersebut selesai.
Sirul juga memberikan gambaran terperinci bagaimana Altantuya dibunuh sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4.
“Sekiranya pengakuan ini tidak benar, Sirul mesti jelaskan bagaimana
dia boleh memberikan gambaran yang begitu terperinci mengenai kejadian
terbabit,” tambah Kit Siang.
Bukan itu sahaja, Sirul juga wajar mendedahkan semua yang terjadi
sepanjang sembilan tahun lalu, terutamanya sama ada beliau pernah
dijanjikan kebebasan atas tindakannya mematuhi arahan untuk membunuh
Altantuya.
“Sirul jelas tidak mempunyai motif membunuh Altantuya, kerana dia
tidak kenal Altantuya, dan dia juga tidak kenal Abdul Razak Baginda,”
jelas Kit Siang lagi.
Dalam pengakuannya, Sirul merujuk Altantuya sebagai ‘perempuan Cina’,
dan tidak pernah tahu bahawa mangsa merupakan seorang warga Mongolia. –
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment