•  Mahfuz Omar
ALOR SETAR – Pas Kedah mendakwa kerajaan negeri gagal melunaskan bayaran kepada sebuah syarikat pemegang konsesi bekalan air seperti yang termaktub dalam perjanjian penswastaan bekalan air.
Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengenakan caj pelarasan deposit kepada semua pemegang akaun bil Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebanyak antara RM50 hingga RM70.

“Kebimbangan kami sangat berasas. Walaupun Pas Kedah menentang perjanjian yang merugikan kerajaan dan rakyat dibuat pada zaman BN, tetapi tindakan kerajaan menggunakan wang yang  diserahkan oleh Sada bagi tujuan lain dan tidak dibayar kepada syarikat berkaitan adalah satu pengkhianatan perjanjian.

“Kerajaan negeri harus bertanggungjawab menjelaskan perkara ini kepada rakyat sekiranya maklumat terbabit benar,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri menggunakan wang lebih RM35 juta untuk mengatasi krisis kewangan kerajaan BN Kedah adalah amat memalukan.

“Kerajaan PR sebelum ini tidak menghadapi masalah kewangan yang runcing sehingga ke tahap ini walaupun kita tidak memerintah kerajaan persekutuan.

“Apakah ini transformasi yang ingin dipacu oleh BN Kedah setelah menabur janji menjelang PRU lalu,” katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau bimbang sekiranya kenaikan kadar deposit (caj pelarasan deposit) itu dibuat bertujuan meletakkan beban krisis kewangan kerajaan di bahu rakyat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tindakan Sada mengenakan caj pelarasan deposit kepada penduduk di sekitar pusat badar mengundang rasa kurang senang orang ramai.

Caj tambahan melalui bil air  Februari itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar lebih RM100.