Monday, February 2, 2015

'Menabung hadapi ekonomi merosot'

1 Feb 2015  Malaysiakini

Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah mahu rakyat tidak boros berbelanja tetapi mesti bijak menabung wang bagi menghadapi sebarang kemungkinan kemerosotan ekonomi negara.

Tengku Razaleigh yang juga anggota Palimen Gua Musang, bagaimanapun menafikan bahawa masalah tekanan ekonomi sekarang berpunca daripada kelemahan kerajaan, tetapi sebaliknya faktor luaran kerana ia turut membabitkan semua negara luar.

Beliau berkata rakyat perlu faham apa yang berlaku serta tidak mudah melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan, sambil menjelaskan tekanan ekonomi itu tidak banyak menjejaskan pasaran komuniti seperti sawit dan getah.

“Harga sawit masih berada pada tahap yang stabil kerana pasaran utama sawit negara kita adalah ke China dan India,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Sumbangan Tunai dan Barangan Elektrik kepada mangsa banjir warga Felda di Sekolah Kebangsaan (SK) Chiku 7, di Gua Musang hari ini.

Hadir sama Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Che Noh Che Pa dan Pengerusi Majlis Belia Felda (MBF) Kelantan Mohd Norfazly Mohd Daud.

Tengku Razaleigh berkata industri sawit di negara ini hanya mempunyai persaingan utama dengan pengeluaran sawit di Indonesia, namun ia tidak menghalang pasaran ke negara luar.

Katanya negara luar mengimport minyak kerana mudah dan boleh digunakan untuk semua keperluan.

“(Bagaimanapun) minyak mentah kita dijual pada harga mahal, sebaliknya kita pula mengimport minyak dari negara luar pada harga murah bagi memperoleh keuntungan.

“Kita faham mengenai teguran rakyat berhubung perkara itu kerana mereka mungkin tidak tahu perkara sebenar yang dilakukan kerajaan,” katanya.

- Bernama
 

No comments:

Post a Comment