Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) yang juga Ahli Parlimen Bera dipakaikan "tengkolok" ketika diraikan sebagai wira pengguna selepas menegur peniaga dan pemborong yang enggan menurunkan harga barang selepas minyak petrol turun harga ketika hadir majlis Taklimat Gerak Kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Penggundi Umno Bahagaian Bera di sini, hari ini. - Foto Bernama 
  •  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) yang juga Ahli Parlimen Bera dipakaikan "tengkolok" ketika diraikan sebagai wira pengguna selepas menegur peniaga dan pemborong yang enggan menurunkan harga barang selepas minyak petrol turun harga ketika hadir majlis Taklimat Gerak Kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Penggundi Umno Bahagaian Bera di sini, hari ini. - Foto Bernama
BERA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membidas pihak pembangkang kerana pasif dalam perjuangan menurunkan harga barang sesuai dengan penurunan harga minyak pada masa kini. 
    
Beliau berkata perbuatan pembangkang itu tidak selari dengan tindakan mereka yang sebelum ini sering mengajak rakyat untuk berarak di jalan raya, kononnya untuk menekan peniaga supaya menurunkan harga barang, sehingga memberi tekanan kepada kerajaan.  
    
"Apabila harga barang naik akibat kenaikan harga minyak, isu ini digembar gemburkan pembangkang. Malah BN (Barisan Nasional) pun ditukar nama kepada Barang Naik. 
 
"Tetapi bila harga minyak sudah turun, tidak pula kita dengar mereka minta harga barang turun atau mengajak rakyat berdemo (berdemonstrasi) di jalan raya menuntut harga diturunkan," katanya. 
    
Ismail Sabri berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Gerak Kerja Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi Umno Bahagian Bera di Dewan Majlis Daerah Bera di sini, hari ini. 
 
Sehubungan itu, Ismail Sabri menyifatkan tindakan pembangkang sebelum ini sebagai suatu permainan politik, yang cuba mendapatkan simpati rakyat dengan bermodalkan harga barang. 
    
"Jadi kita nampak permainan pembangkang guna isu harga barang untuk memburukkan kerajaan, yang akhirnya akan menimbulkan simpati pada pembangkang," katanya.
    
Selain itu, Ismail Sabri yang juga Ketua Umno Bahagian Bera juga berkata, biro keahlian dan pendaftaran pengundi daerah telah diberikan petunjuk prestasi utama (KPI) mencari 5,000 pengundi baharu di kawasan itu sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. 
    
"Kita kena agresif mendapatkan pengundi baharu dan juga akan menarik lebih ramai pengundi golongan muda. Kita akan menjejak mereka (pengundi muda) yang berada di luar Bera seawal yang boleh, untuk bawa mereka balik ke sini," katanya. 
    
Beliau menambah pihaknya juga akan mengenal pasti lebih 2,000 pengundi yang tidak mengundi pada PRU ke-13, untuk mengetahui faktor mengapa mereka tidak menjalankan tanggungjawab itu. 
    
"Kita mahu tahu adakah mereka ini berkecil hati atau apa...kita mahu pastikan mereka ini mengundi pada pilihan raya akan datang," katanya. - Bernama