Mohd Khairuddin Othman 
  •  Mohd Khairuddin Othman
SHAH ALAM – Hubungan baik antara Pas Selangor dan DAP Selangor tidak akan mengheret kepada perpecahan dalam PR seperti yang digambarkan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu tidak merujuk situasi politik di Selangor dan negeri pantai barat lain.

“Pas Selangor komited bekerjasama dalam PR, tidak timbul kemelut dengan DAP malah hubungan antara parti sangat baik dan kami saling memerlukan.

“Kita (Pas) selesa dengan PR dan akan kekal komited menumpukan kepada pengukuhan kerajaan di bawah pentadbiran Menteri Besar,” katanya.

Adun Paya Jaras itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas itu mungkin hanya menyentuh konteks atmosfera politik di Terengganu dan Kelantan sahaja.

“Beliau tidak tinggal di Selangor, di sini hubungan Pas, DAP dan PKR sangat baik. Malah kita perlukan satu sama lain.

“Bagaimanapun mungkin DAP di Pulau Pinang tidak perlukan Pas begitu juga dengan Pas di Terengganu dan Kelantan tidak perlukan DAP tetapi berbeza di Selangor, ketiga-tiga parti menjalin kerjasama erat tanpa sebarang kemelut,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pimpinan Pas dan rakan PR lain elak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan yang mengundang perpecahan parti.