• SPR
KOTA BHARU - PKR Kelantan menyambut baik cadangan peribadi segelintir pemimpin BN agar parti itu tidak bertanding atau meletakkan calon dalam PRK Dun Chempaka berikutan kematian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Pengerusinya, Ab Aziz Kadir berkata, pihaknya amat mengalu-alukan hasrat tersebut berikutan ada yang mahu menumpukan kepada pembangunan negeri pasca banjir.
 
“Memang hasrat itu (tidak bertanding) dialu-alukan, namun biarlah ikhlas jangan nanti ada 'calon mesra BN' pula, iaitu calon bebas yang dikatakan ada kaitan secara tidak langsung dengan BN seperti di Permatang Pauh, Pulau Pinang dahulu,” katanya.
 
 
Dalam perkembangan lain, Ab Aziz berkata, PKR negeri mahu suara majoriti diguna pakai bagi menentukan siapa yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai pakatan pembangkang.
 
“Apabila dipilih sebagai ketua parti, mestilah sesuai namun kita mempraktikkan demokrasi.
 
“Sesiapa yang mendapat sokongan lebih akan menjadi ketua. Tak perlu mendahului keputusan majlis pimpinan teratas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu menerusi pendapat peribadinya menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang layak menggantikan Anwar kerana mempunyai kemampuan dan diyakini mampu mencari penyelesaian masalah berpandukan agama.