• GST
SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengkaji semula caj perkhidmatan yang dikenakan sesebuah perniagaan kepada pengguna sejak sekian lama.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, justifikasi caj perkhidmatan itu sendiri mengelirukan dan tidak jelas serta menjadi bebanan kepada pengguna.

“Kita pun tak tahu keperluan caj perkhidmatan 10 peratus itu...justifikasinya tidak jelas.

“Kerajaan semaklah semula keperluan caj itu kerana kita tak nampak sebab industri itu perlukan caj tersebut. Kalau tak perlu lagi caj perkhidmatan ini, mansuhkan saja,” katanya kepada Sinar Online.

Caj perkhidmatan ialah sejenis bayaran yang dikenakan oleh perniagaan kepada pengguna seperti di restoran dan hotel sebanyak 10 peratus manakala cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan akan diganti dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus bermula 1 April ini.

Dalam pada itu, Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) senada dengan PPIM menggesa agar mana-mana bebanan tambahan kepada pengguna wajar dimansuhkan.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sahar Mat Din berkata, meskipun peniaga mahu mengaut keuntungan namun ia mestilah seimbang dan tidak memberatkan pengguna.

“Apa-apa yang memberi bebanan tambahan kepada pengguna memang patut dimansuhkan. Walaupun kita berniaga tapi apa pun mesti ada keseimbangan.

“Maknanya tidak memberatkan pengguna itu dalam keadaan sekarang ini yang bertimpa-timpa pula caj yang dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa membuat persiapan rapi sebelum melaksanakan sesuatu sistem baharu seperti GST.

“Memang kita menjangkakan apabila dari segi pelaksanaan itu nanti akan ada peniaga yang ambil kesempatan. Ada pihak yang akan teraniaya terutama pengguna. Jadi, saya rasa sebelum pelaksanaan GST ini perlu dibuat persiapan yang betul-betul rapi.

“GST sebanyak 6 peratus dan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus itu memang satu tekanan kepada pengguna.

“Kepada peniaga, apa pun sistem yang digunapakai, kejujuran dan amanah itu mesti ada serta tidak menjadikan pengenalan sistem baru ini ruang untuk peniaga ambil kesempatan kepada pengguna. Apa pun biarlah keadilan berlaku tiada yang teraniaya,” katanya.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendesak agar caj perkhidmatan dimansuhkan kerana ia tidak memberi nilai tambah, sebaliknya menambah beban pengguna apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan kelak.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ia ekoran caj perkhidmatan dilihat sudah tidak relevan memandangkan tiada perkhidmatan tambahan diperoleh pengguna, ketika ini.

Menurutnya, Fomca sudah mengajukan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Januari lalu.