•  Azmin Ali
YAN – PR Kedah dinasihatkan supaya tidak mudah terperangkap dengan mainan politik pihak tertentu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu dikhuatiri boleh memecahbelahkan kerjasama parti komponen dalam PR.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, kita tidak boleh menolak pelaksanaan hukum hudud. Tidak kira sama ada kita dari parti mana sekalipun.

“Tetapi adalah lebih baik sekiranya kita memberi keutamaan kepada isu-isu kenaikan harga barang, kos sara hidup, kemiskinan rakyat, ketidakadilan pemerintah dan sebagainya terlebih dahulu,” katanya dalam ucapan sempena majlis minum petang bersama masyarakat setempat di pekan Guar Chempedak, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, PR perlu sisihkan perbezaan pandangan serta merangka strategi baharu untuk maju ke depan.

“Kesepakatan yang ditunjukkan oleh PR mampu menggugat dan menyekat usaha berterusan pihak musuh bagi memecah kekuatan yang ada pada PR.

“Sekiranya kita alpa dan bersengketa, inilah saat yang dinantikan pihak musuh untuk mencapai impian mereka melihat PR berpecah,” katanya.

Katanya, gabungan parti komponen PR tidak akan berpecah dan terus bersama menuntut keadilan serta membela nasib rakyat.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dalam persidangan Dun Kelantan yang menyentuh mengenai hudud, qisas dan ta’zir.

Beliau berkata, rang udang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.

Kesemua 21 Adun BN Kelantan juga sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan terbabit.

Bagaimanapun, DAP tetap dengan pendirian membantah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.