•  Orang ramai melihat mayat mangsa yang ditemui di jalan raya, semalam. Gambar kecil : Kean Eng
ALOR SETAR - Seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman ditemui mati berhampiran deretan rumah kedai di Taman Anggerik, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu menyebabkan Ang Kean Eng, 32, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan kes pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati seorang lelaki mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan.

“Mangsa dipercayai diserang oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti kenderaan dinaiki suspek kerana meninggalkan lokasi dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kita kenal pasti nombor pendaftaran kereta itu dan sedang menyiasat latar belakang pemiliknya.

"Jika nombor pendaftaran itu betul, ia lebih memudahkan polis untuk menjejaki suspek,” katanya.

Zamri berkata, polis juga akan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai berdekatan untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal kita mendapati mangsa berada seorang diri di sebuah kedai berdekatan sebelum ditemui mati beberapa meter dari situ.

“Kita percaya kejadian pembunuhan ini ada kaitan dengan kes pengedaran dadah di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, satu alatan tajam turut dijumpai di lokasi kejadian dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Kes disiasat menurut Seksyen 149 dan Seksyen 302.