• Dr Afif Bahardin

SHAH ALAM – Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin membuat permohonan kali kedua untuk bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara selepas permohonan sebelum ini ditolak atas faktor keselamatan.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata, pertemuan itu penting untuk menyelesaikan beberapa urusan rasmi melibatkan kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Saya ingin memohon buat kali kedua untuk bertemu dengan beliau bagi menyelesaikan beberapa urusan rasmi melibatkan peruntukan dan keputusan polisi di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Permohonan saya yang kali pertama telah ditolak tanpa sebarang surat rasmi daripada pihak Jabatan Penjara dan saya hanya dimaklumkan melalui telefon bahawa permohonan saya ditolak atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa pertemuan itu penting ekoran ia melibatkan kepentingan rakyat di Permatang Pauh.

“Tujuan permohonan ini dikemukakan kepada pihak penjara adalah bertujuan bagi membincangkan beberapa urusan rasmi yang melibatkan kawasan Parlimen Permatang Pauh dan bagi mendapatkan kelulusan peruntukan daripada beliau

“Segala urusan adalah melibatkan kepentingan rakyat yang diwakili beliau di Permatang Pauh. Beliau berhak untuk menjalankan tugas beliau sebagai ahli parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 48(4)(C) Perlembagaan Malaysia yang menjelaskan bahawa seseorang ahli Parlimen hanya hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen setelah petisyen ditolak,” katanya.