•  Seorang warga asing bersembunyi di bawah katil.Menyorok bawah katil elak dicekup  
  • Antara warga asing
JOHOR BAHRU - Seramai 65 warga asing ditahan Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam serbuan Ops Sapu di Kampung Plentong Baru, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu, seorang bayi berusia empat bulan, seorang bayi perempuan berusia setahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun warga Indonesia antara yang ditahan.

Manakala selebihnya terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa warga Indonesia serta Myanmar.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, kesemua 65 warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kita telah membuat pemeriksaan di kawasan perkampungan Kampung Plentong Baru. Setibanya di lokasi aduan, saya telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan Imigresen dan memaklumkan pemeriksaan Imigresen.

“Seterusnya saya mengarahkan anggota operasi untuk memeriksa keseluruhan kampung ini. Hasil pemeriksaan ke atas seramai 150 orang di lokasi aduan telah menahan 65 warga asing,” katanya.

Masri berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 33 lelaki dewasa warga asing; 29 wanita warga asing; dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Katanya, antara kesalahan yang disyaki dilakukan adalah di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguat kuasa Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika untuk siasatan lanjut jabatan.

“Tiada barang rampasan dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang pemeriksaan dijalankan. Pemeriksaan tamat sekitar jam 3 pagi,” katanya.