• Misteri api keluar dari dinding  
  • Mohd Arif (kiri) bersama pelajarnya mencari buku yang masih boleh digunakan.
  • Misteri api keluar dari dinding  Asrama yang terbakar berada selang dua unit daripada yang hangus dua minggu lepas.
  • Misteri api keluar dari dinding  
  • Keadaan di dalam bangunan tingkat atas itu yang hampir 100 peratus musnah.
DUNGUN - Dalam tempoh tidak sampai tiga minggu dua kejadian kebakaran berlaku di bangunan rumah kedai yang dijadikan asrama pelajar Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie, Taman Murni Perdana, Paka, di sini.

Terbaharu, hampir 90 peratus unit ketiga asrama berkenaan hangus dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang, kelmarin.

Asrama berkenaan hanya berada selang dua unit daripada asrama yang terbakar dua minggu lepas.

Menurut penghuni asrama itu, mereka hairan apabila api tiba-tiba muncul dari dinding asrama berkenaan sehingga mencetuskan kebakaran.

Lebih menghairankan unit yang didiami itu terputus bekalan elektrik sejak awal pagi dan kebakaran berlaku pada waktu sama dengan kejadian sebelum ini, iaitu selepas Asar.

Akibat kebakaran, seramai 30 pelajar pusat tahfiz tersebut termasuk 10 daripadanya pelajar dari Yaman yang sedang mengikuti pengajian sementara di situ tinggal sehelai sepinggang.


Pelajar tinggal sehelai sepinggang

Pengetua pusat berkenaan, Mohd Arif Al-Yamani berkata, sewaktu kejadian tiada sesiapa di dalam bilik dan pelajar sedang sibuk menjalankan kerja mengecat serta gotong-royong membaik pulih bangunan yang terbakar sebelum ini.

Menurut Mohd Arif, pihaknya hanya menyedari kejadian itu apabila salah seorang pelajar pulang ke bilik untuk mengambil barang tetapi terkejut apabila melihat api sedang marak.

“Kejadian ini agak pelik dan kita masih tidak tahu apakah punca sebenar kebakaran.

“Pelajar yang menyedari kebakaran itu memberitahu dia melihat api keluar dari dinding dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia merebak dengan cepat,” katanya.

Kata beliau, selepas bomba datang api dapat dikawal daripada terus merebak ke unit lain tetapi kebakaran kali ini memang sangat teruk jika dibandingkan dengan kejadian dua minggu lepas.

“Kesemua 30 pelajar yang rata-ratanya berasal dari luar negeri ini tinggal sehelai sepinggang.

“Segala buku-buku, wang tunai, kad ATM, pakaian, dokumen penting termasuk kad pengenalan gagal diselamatkan,” katanya.

Katanya, semua katil pelajar musnah dan tilam serta katil baharu yang disumbangkan orang ramai juga ranap begitu sahaja.

“Anggaran kerugian kali ini mencecah RM 120,000,” katanya kepada Sinar Harian.


Hilang tempat tinggal

Kata Mohd Ariff, pelajarnya kini hilang tempat tinggal dan buat sementara waktu terpaksa menetap di sebuah kawasan inap desa di kawasan sekitar.

“Kita sedang baik pulih asrama yang terbakar tetapi yang lain pula ditimpa musibah.

“Malam tadi (malam kelmarin) kesemua pelajar tidur di rumah inap desa ditanggung oleh individu yang bersimpati dan kita tidak tahu lagi perancangan selepas ini,” katanya.

Kata beliau, sepatutnya pusat itu menyambung kelas selepas pelajar diberi cuti akibat kebakaran baru-baru ini tetapi sekarang kelas juga tidak dapat dimulakan lagi.

“Terdapat tiga unit pusat pengajian ini dan dua daripadanya sudah terbakar.

“Mungkin buat sementara waktu kita akan menyambung pengajian di inap desa atau kawasan lain sementara menunggu bangunan dibaikpulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Paka, Muhammad Yusof berkata, kebakaran bahagian atas bangunan itu hampir 100 peratus tetapi api dapat dikawal dalam masa singkat bagi mengelak unit lain  menjadi sasaran.

“Kita terima panggilan pada jam 6.06 petang dan seramai sembilan anggota dengan kekuatan dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan punca kejadian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.