Saturday, April 18, 2015

Nasi minyak 60 sen, teh 'O' 30 sen. Boleh pun

Nasi minyak 60 sen, teh 'O' 30 sen 
  • Kedai makan Sinah yang tidak pernah putus pelanggan.
KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] Walaupun ramai peniaga berlumba-lumba menaikkan harga makanan yang dijual disebabkan kenaikan harga barang selain pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) namun berbeza dengan peniaga kedai makan di Kampung Losong Atap Zin dekat sini.

Sinah Sulaiman, 63, tidak pernah menaikkan harga makanan dan minuman dijual sejak lebih 20 tahun lalu dan dia berhasrat akan kekal dengan harga sama seperti mana sebelumnya.

Dengan hanya 30 sen, pelanggan boleh mendapat secawan teh ‘O’ manakala pada harga RM1.40 untuk segelas milo ais ‘kaw’, sebab itu tidak hairanlah kedai makannya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan dari jauh mahupun dekat.

Pada masa sama, Sinah yang mesra dengan panggilan Kak Nah masih mengakui mendapat keuntungan setimpal kerana baginya perniagaan yang dijalankan bukanlah untuk sehari dua tetapi dalam tempoh lama dan pelangganlah yang akan menentukan hidup matinya satu-satu perniagaan.

Di warung itu yang terletak di pinggir jalan menghala ke Muzium Negeri di sini, beraneka juadah seperti kuih-muih, nasi lemak dan nasi minyak siap dibungkus serta roti canai sehinggalah pelbagai jenis air minuman dijual dengan harga yang sangat murah.

Boleh dikatakan apa sahaja jenis kuih dan makanan untuk sarapan pagi terdapat di kedainya.

Rahsia Kak Nah untuk menarik pelanggan tentunya harga yang murah.

Nasi minyak 60 sen

Sebungkus nasi lemak atau nasi minyak hanya dijual 60 sen hingga RM1.30 sen manakala minuman sekitar 30 sen hingga RM1.40 sen secawan sementara kuih-muih dijual sekitar 20 sen atau 30 sen sebiji.

“Setakat ini, Kak Nah jual makanan dan minuman sama seperti mana sebelum ini.  Tidak naik dan tidak akan naik walaupun ada kenaikan harga barang termasuk susu, ais selepas GST.

"Hanya milo naik 20 sen, sebab harganya mahal sangat dan amat membebankan jika dijual pada harga biasa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedainya di Kampung Losong Atap Zin dekat sini, semalam.

Kak Nah merupakan anak jati Kampung Losong mula berniaga di situ sejak lebih 40 tahun lalu.

Pada mulanya dia membuka kedai runcit bersama Allahyarham suaminya, Yusof Salleh dan setelah kematian suaminya itu, dia meneruskan perniagaan sambil dibantu lima anak dan empat pekerja.

“Saya tidak kisah jual harga semurah ini, sebab saya masih dapat untung,” katanya.

Bantu orang kampung

Kata Kak Nah, niatnya berniaga untuk membantu orang kampung kerana mereka bukannya orang senang sebab itu dia jual dengan harga murah.

Ditanya kenapa dia keberatan menaikkan harga, Kak Nah beritahu, sebarang kenaikan harga akan meresahkan pelanggan yang kebanyakan nelayan, petani dan buruh.

“Apa yang diutamakan di kedai ini adalah kepuasan pelanggan terhadap harga dan jaminan kualiti makanan serta konsep mesra pelanggan.

"Murah bukan bermaksud kualiti dan keenakan makanan juga rendah," kata ibu kepada lima anak ini.

Tidak hairanlah kedai Kak Nah turut jadi pilihan pegawai tinggi kerajaan, pekerja swasta dan pelajar.

No comments:

Post a Comment