UNTUK SEBARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA
KENYATAAN MEDIA
Pada 8 April yang lepas, FOMCA mendapati bahawa harga barangan
meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding dengan harga yang
dicadangkan oleh buku panduan harga yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Secara keseluruhannya, golongan berpendapatan rendah, termasuk warga
emas adalah antara yang paling terkesan dengan kenaikan harga ini.
Peningkatan harga ini telah menyebabkan kuasa membeli rakyat menurun
secara mendadak. Saya berasa amat bimbang akan kesan penurunan kuasa
membeli ini kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap, dan
tidak lagi boleh bekerja untuk menanggung kehidupan mereka.
Dikhuatiri, warga emas yang memerlukan ubat-ubatan untuk
penyakit-penyakit tertentu tidak lagi akan mampu untuk membeli ubat,
kerana menumpukan perbelanjaan mereka ke arah barangan asas yang lain
dan penambahan harga ubat-ubatan. Ini akan membawa kesan yang jauh lebih
buruk, yang mungkin menyebabkan penyakit atau keadaan kesihatan serta
kualiti hidup warga emas berada diluar kawalan.
Walaupun kerajaan telah menambah jenis-jenis ubat yang berkadar
sifar, realiti menunjukkan bahawa masih lagi banyak ubat-ubatan untuk
penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi yang dikenakan GST.
Januari lepas, Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian
Community Pharmacy Guild (MCPG), Pharmaceutical Association of Malaysia
(PhAMA), Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan
Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) telah
mengeluarkan kenyataan bahawa sebenarnya hanya 320 jenis ubat sahaja
yang dikadarkan sifar di bawah GST. Ini disebabkan walaupun dalam
Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML) terdapat 4200 jenis ubat, namun
sebenarnya ubatan yang sama yang dihasilkan oleh syarikat berlainan
dikira beberapa kali. Sebagai contoh, paracetamol yang dihasilkan oleh
pelbagai syarikat dikira sebagai 17 ubatan yang berlainan oleh Kerajaan.
Sebelum pada ini, beberapa harga ubat telah meningkat antara 20%
hingga 50% pada tahun 2014 dan dijangka bakal naik mendadak pada tahun
ini!
Warga emas juga kini terpaksa berbelanja lebih untuk barangan
penjagaan kehidupan lain seperti lampin dewasa, makanan tambahan seperti
Milo dan susu untuk orang dewasa yang mengalami peningkatan harga.
Jelas, impak GST ini adalah lebih besar ke atas golongan yang
berpendapatan rendah berbanding dengan golongan mahakaya, yang
menunjukkan kegagalan kerajaan untuk memastikan rejim cukai yang baru
ini sebagai rejim cukai yang progresif.
Sekiranya beban ke atas golongan miskin sudah besar, bayangkan betapa
peritnya kehidupan bagi warga emas yang tidak mempunyai pendapatan yang
tetap, setelah pengenalan cukai regresif ini.
Dalam lawatan saya ke Pasar Taman Seri Sentosa hari ini, majoriti
warga emas yang saya temui mengeluh tentang kenaikan harga barang
disebabkan oleh GST ini. Justeru, saya menggesa kerajaan dengan segera
mengambil langkah-langkah segera untuk menangguhkan pelaksanaan GST
sehingga rakyat benar-benar bersedia untuk menerima rejim percukaian ke
atas kepenggunaan.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA KEADILAN
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA KEADILAN
No comments:
Post a Comment