Monday, April 27, 2015

PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG TUTUP SEMUA BILIK GERAKAN SEPANJANG PRK PERMATANG PAUH. Kenapa ?

26/4/15


Kecewa dengan sikap membisu Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Dewan Pemuda PAS negeri menutup semua bilik gerakan sepanjang Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah dalam satu kenyataan berkata semua jentera dan petugas Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang kempen berlangsung.

“Semua bilik gerakan Pemuda tidak akan dibuka sama sekali.

“Mana-mana premis di bawah seliaan pemuda juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh ini,” katanya.

Tindakan tersebut dilakukan selepas desakan permohonan maaf yang disuarakan oleh Pemuda PAS Pulau Pinang berhubung kenyataan AMK Pulau Pinang yang menghina dan memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dihiraukan.

Tempoh yang diberikan kepada pihak AMK Pulau Pinang sehingga hari penamaan calon, 25 April untuk menyatakan permohonan maaf juga telah pun tamat.

Pemuda PAS kecewa atas sikap berdiam diri oleh AMK Pulau Pinang dan juga helah politik PKR dan beberapa pimpinan tertentu PAS dalam mengurus desakan akar umbi PAS di Permatang Pauh.

Selain itu jelas Mohd. Yusni, Pemuda PAS Pulau Pinang turut membatalkan semua gerak kerja kempen yang telah disusun sebelum ini.

“Kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru PASTI juga akan direhatkan dari bertugas dalam PRK ini.

“Kami juga tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai mana-mana pentas ceramah sepanjang kempen untuk PRK Permatang Pauh,” tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei.
 

No comments:

Post a Comment