•  Pik Fong menunjukkan gambar anaknya yang dipenjarakan di Itali kerana disyaki menggunakan kad kredit palsu.
PUCHONG – Sangkaan seorang ibu tunggal bahawa anaknya pergi melancong ke luar negara meleset apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu rupanya dipenjarakan di sebuah penjara di Itali kerana disyaki menggunakan kad kredit palsu.

Phan Pik Fong, 55, berkata, pada 20 Januari lalu anaknya, Chan Kam Yoe, 20, ada menyatakan hasrat bercuti ke negara itu, meskipun mengetahui keluarganya tidak mempunyai kemampuan untuk membiayai trip pelancongan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, anaknya beria-ia mahu pergi juga dengan menyatakan pembiayaannya ke negara itu akan ditanggung seorang rakan.

Pik Fong berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya itu benar-benar pergi ‘melancong’ selepas mendapati remaja itu tidak pulang ke rumah dan pakaian tiada di biliknya.

Selepas dua hari berangkat, Pik Fong dikejutkan panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa dia adalah peguam dari Itali.

Peguam tersebut memberitahu Kam Yoe ditahan polis negara itu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pemalsuan kad kredit.

“Pada mulanya saya tak percaya sebab peguam ni minta 4,000 euro (RM15,499) jika mahu selamatkan Kam Hoe dari dituduh,” katanya.

Disebabkan buntu dengan masalah dihadapi, Pik Fong membuat aduan kepada Adun Kinrara, Ng Sze Han bagi mendapatkan pengesahan mengenai status anaknya.

Dia turut membuat laporan polis pada 30 Januari lalu di atas kehilangan anak bongsunya yang bekerja sebagai jurujual penyedut hampagas di Puchong sebelum ini.

“Saya harap kedutaan negara ini di sana akan bantu dia. Saya juga berharap hukuman dikurangkan kerana anak saya terpedaya geng sindiket pemalsuan kad kredit,” katanya.

Sementara itu Sze Han berkata, Pik Fong membuat aduan berkenaan kehilangan anaknya sejak dua bulan lalu.

Beliau kemudian menghubungi beberapa agensi termasuk cawangan penjara di Itali. Usaha awal menemui jalan buntu sebelum Kedutaan Malaysia di Itali berjaya mengesan remaja tersebut yang dikatakan dipenjarakan di Regina Coeli Prison.

Sze Han berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan terdapat dua lagi rakyat Malaysia berusia lingkungan 20-an ditahan atas kesalahan sama di penjara tersebut.

“Ketiga-tiga mereka disyaki membuat pembelian lebih kurang 30,000 euro (RM116,245) dalam tempoh dua hari menggunakan 30 kad kredit palsu.

“Berkemungkinan anak ibu tunggal ini diperdaya sindiket yang menggunakan anak muda sebagai sasaran kerana mudah dipengaruh,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga remaja itu akan dibicarakan di mahkamah negara itu Jun ini.

Beliau ada melakukan semakan dan diberitahu negara itu akan beri bantuan peguam percuma kepada remaja tersebut sekiranya keluarganya tidak berkemampuan melantik peguam sendiri.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelancongan ke luar negara secara percuma meski ia datang dari kawan karib sendiri.

"Kalau ada tawaran seperti ini kena perlu lebih hati-hati,” katanya lagi.