• Calon Pas nafi ceroboh tanah secara haram  
  • Nazri (duduk) bersama pelajar Maahad Tahfiz Al-Ahmadi dikendalikannya di Felda Keratong 5.
MUADZAM SHAH - [DIKEMASKINI] Calon Pas, Nazri Ahmad menafikan dakwaan yang beliau menceroboh secara haram tanah milik Felda untuk membina Maahad Tahfiz Al-Ahmadi kendaliannya di Felda Keratong 5, di sini.

Beliau menjelaskan tapak berkenaan sebahagian tanah diberikan Felda kepada keluarganya pada tahun 2000 untuk membina kilang keropok ikan yang sebelum itu dibina berhampiran kediaman peneroka lain dan tidak lagi sesuai.

“Keluarga kami perlu membayar ganti rugi RM6,000 kepada peneroka berhampiran kerana ia membabitkan kebun sawit mereka, ada dua blok bangunan kilang keropok ikan dan ia diubahsuai kepada maahad tahfiz selepas ayah meninggal dunia.

“Kami bersetuju membina maahad tahfiz itu sebagai amal jariah arwah ayah terhadap usaha mendidik orang ramai berkaitan pengajian Islam dan ia mula digunakan pada tahun lalu...tiada langsung sebarang unsur keuntungan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Bukit Serok di sini, semalam.‎

Nazri yang ditentang calon BN, Datuk Hasan Arifin mengakui pernah membuat permohonan kepada Felda bagi mendapatkan sokongan pembinaan maahad tahfiz berkenaan, bagaimanapun ditolak.

“Pada mulanya pihak pengurusan Felda menyambut baik tetapi tidak berapa lama kemudian saya menerima surat daripada Felda yang menolak permohonan mendapatkan sokongan daripada mereka.

“Saya mahu mendapatkan sokongan Felda bagi memudahkan proses pendaftaran  dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan mendapat bantuan daripada kerajaan, sekarang saya jalankannya dengan dana sendiri,” katanya.

Nazri berkata, beliau kecewa dengan tuduhan berkenaan dan menganggapnya sebagai satu fitnah yang jahat untuk memburukkan imejnya dalam menghadapi PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.

“Bagi saya tidak timbul langsung isu saya menceroboh tanah kerana maahad tahfiz berkenaan terletak dalam kawasan tapak diluluskan oleh Felda kepada keluarga saya dahulu.

“Lagipun maahad tahfiz ini adalah untuk kebaikan penduduk setempat dan mampu membantu mengatasi masalah sosial seperti penagihan dadah,” katanya.