• Cedera ‘dihentam’ kapak sendiri
  • Suspek ditahan dalam keadaan lalok


KEMAMAN - Tindakan agresif seorang tokan (pengedar) dadah yang cuba menyerang polis dengan kapak untuk meloloskan diri daripada ditangkap memakan diri apabila dia sendiri yang tercedera ketika operasi bersepadu dilakukan di Felda Neram 1, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 11 pagi hingga 3 petang di tiga port dadah itu, tokan terbabit yang berusia 34 tahun diberkas bersama seorang lagi rakan pengedarnya berusia 27 tahun, empat penagih dan empat kaki judi.

Tokan itu bersama lima suspek lain didapati sedang lalok ketika polis dan AADK Kemaman yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah dan Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokman Hakim Othman menyerbu port mereka di Kampung Baru Felda Neram Tambahan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, terkejut dengan kehadiran pasukan penguat kuasa, pengedar pil kuda itu mengayun kapak, namun dengan kecekapan dimiliki anggota penguat kuasa, mereka berjaya mengelak dan berlaku pergelutan.

Menurutnya, ketika bergelut, kapak yang dipegang suspek terkena pada bahagian kepalanya sendiri menyebabkan berlaku pendarahan menyebabkan suspek terpaksa dibawa ke hospital.

“Kita turut temui 40 biji pil kuda pada suspek yang tinggal tidak jauh dengan port penagihan dadah yang kita serbu.

“Pada badan seorang lagi pengedar yang berumur 27 tahun, kita rampas satu paket dadah jenis heroin. Empat lagi yang lain adalah penagih berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun,” katanya.

Berikutan perbuatan liar itu, suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki pil kuda.

Katanya, suspek yang memiliki heroin pula disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama, manakala baki empat lagi suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Serbu kandang lembu

Normansah berkata, terdahulu pihak penguat kuasa turut menyerbu sebuah kandang lembu dalam ladang sawit di tepi jalan antara Felda Neram 1 dengan Jabor, namun kandang tersebut didapati kosong, dipercayai suspek terlebih dahulu berjaya menghidu kedatangan
pasukan penguat kuasa.

Pada asalnya kandang itu adalah tempat belaan lembu sebelum penagih bertindak berani menjadikannya sebagai tempat melampiaskan gian, hingga tuan tanah tersebut ketakutan. Turut dijumpai di dalam kandang itu adalah jarum dan peralatan menagih dadah.

Bagi mengelakkan dua lokasi itu terus menjadi sarang penagih dan pengedar, kandang dirobohkan dan kedua-duanya dibersih serta dibakar pada gotong-royong yang dilakukan polis bersama AADK, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rancangan (JKKKR), pihak pengurusan Felda, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan masyarakat setempat.
Datuk leka berjudi

Dalam pada itu, bertindak atas maklumat awam, polis turut menyerbu kawasan Lembah Jabor berhampiran sebuah kilang papan dan berjaya menahan empat kaki judi termasuk seorang peneroka warga emas berusia 70 tahun yang sudah bergelar datuk.

Beliau berkata, ketika kawasan itu didekati didapati lebih kurang 40 lelaki sedang bermain judi melibatkan judi laga ayam dan daun terup.

“Bagaimanapun, usaha polis untuk memberkas kesemua suspek tidak berjaya kerana kawasan ladang sawit itu berbukit dan hanya empat suspek berjaya dicekup. Kita juga berjaya rampas duit sebanyak RM170, daun terup dan kanvas yang jadi alas duduk mereka,” katanya.

Kesemua empat suspek yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka.

Tambah baik sistem perundangan

Sementara itu, masyarakat setempat memohon agar sistem perundangan dapat ditambah baik lagi bagi memastikan kes penagihan dadah dapat dikekang sepenuhnya.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, tindakan yang dibuat pihak berkuasa seolah-olah sia-sia apabila pengedar dan penagih terpaksa dilepaskan semula selepas ditangkap serta disiasat akibat kekangan undang-undang ketika ini.

“Polis saya lihat sangat proaktif kerana banyak melakukan operasi, namun yang menjadi masalah adalah undang-undang kerana untuk tahan reman suspek polis terpaksa mendapatkan kelulusan dari mahkamah sahaja.

“Kalau dahulu, perintah tahanan reman boleh diperoleh dari pegawai daerah, tetapi sekarang sudah tak boleh dan hanya mahkamah yang boleh membenarkan. Kalau hakim, majistret dan pendaftar kanan Mahkamah Sesyen bercuti, ia tentu menyukarkan tugas penguat
kuasa untuk lakukan siasatan lanjut kalau perintah tahanan reman tak diperoleh,” katanya