• Dituduh bakar rakan  Tertuduh dikawal ketat polis ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang lelaki berusia 36 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bachok, semalam atas tuduhan membakar seorang rakan sekerjanya dalam kejadian di ladang sawit Pasir Puteh, 11 Mei lalu.

Tertuduh, Gnana Parkas Anthony didakwa membunuh Ramu Avali, di sebuah ladang kelapa sawit, Cherang Tuli, Pasir Puteh, pada jam 6 petang, pada tarikh itu.

Pada prosiding semalam, tiada pengakuan direkodkan. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki India ditemui meraung-raung dalam keadaan api marak membakar seluruh tubuh oleh seorang wanita berusia 21 tahun yang sedang mencari lembu di kawasan ladang berkenaan sebelum menghubungi polis.

Polis tiba bersama bomba berusaha memadam api yang membakar separuh tubuh mangsa yang masih hidup ketika itu, namun dia kemudian meninggal dunia sebaik api berjaya dipadamkan akibat melecur 100 peratus. Dia dipercayai dipukul hingga pengsan sebelum dibakar kerana disangka sudah mati.