• Jadi mangsa buli ah long Li (kiri) dan Chan (kanan) membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA, di Wisma MCA, semalam kerana serik diganggu ah long.
KUALA LUMPUR - Gara-gara tindakannya sengaja menelefon ah long untuk bertanya mengenai proses pinjaman, seorang jurujual berdepan dengan igauan ngeri diburu ah long sepanjang masa.
Li (bukan nama sebenar), 33, pada mulanya hanya mahu bertanya mengenai prosedur untuk pinjaman RM15,000 selepas tertarik dengan iklan peminjam wang.

Tanpa mengetahui dia bakal menjadi mangsa buli ah long itu , Li menyerahkan butir-butir mengenai dirinya, tetapi tidak pernah membuat pengesahan berkaitan pinjaman.
“Saya juga diminta membayar wang cagaran sebelum pinjaman diluluskan. Wang RM200 kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun tanpa saya sedari dan mendesak saya membayar RM1,000.

“Bermula dari 29 April lalu, saya sering diugut ah long. Wang RM15,000 tidak diberikan, tetapi saya perlu membayar kepada mereka,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Menurut Li, kejadian berlarutan sehingga hampir tiga minggu, bahkan dia didatangi seorang lagi ah long yang memintanya melunaskan hutang RM15,000 yang tidak pernah dipinjamnya itu.

“Bimbang diri dan keluarga diapa-apakan, saya membuat laporan polis. Sehingga kini saya terpaksa membayar RM7,000 kepada kedua ah long itu dan hanya menerima RM900,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang ibu tunggal berusia 42 tahun, diburu ah long selepas bekas suami menghilangkan diri sejak bulan lalu kerana tidak membayar wang kepada lintah darat.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chan berkata, dia sering diganggu dan dinding rumahnya disimbah cat, hingga menyebabkan anak-anaknya berusia lapan dan 10 tahun takut hendak ke sekolah.

“Saya juga diganggu di tempat kerja. Ibu dan bapa yang berusia dalam lingkungan 70 tahun juga menjadi mangsa ugutan ah long.

“Saya hanya mengetahui bekas suami membuat pinjaman selepas didatangi beberapa lelaki meminta hutang mereka dibayar,” katanya.

Menurut Chan, sehingga kini lebih 10 lelaki, yang mengaku sebagai ah long, mencarinya dan meminta dia membayar lebih RM120,000.