• Kayuh basikal ambil BR1M Wan Sulaiman bersedia mengayuh basikal untuk pulang ke rumah selepas mengambil wang BR1M, semalam.
KOTA BHARU - Demi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), seorang warga emas sanggup mengayuh basikal sejauh satu kilometer dari rumahnya di Sungai Budur, di sini, sehingga ke Bank Simpanan Nasional, Jalan Pintu Pong, untuk mengambil wang tersebut.
Wan Sulaiman Ahmad, 73, memulakan kayuhan basikal tuanya itu pada jam 12 tengah hari dan tiba di bank berkenaan setengah jam kemudian.

Katanya, dia sudah terbiasa mengayuh basikal sepanjang hayat hidupnya dan itulah pengangkutan yang membawanya ke mana-mana.

“Hari ini cuaca panas terik tetapi sebab dah terbiasa berbasikal, jadi tidaklah terasa panas mana pun. Sampai di sini, beratur di kaunter dan kemudian tunjukkan baucar BR1M, dapat RM300,” katanya tersenyum.

Wan Sulaiman, antara 4.65 juta penerima BR1M fasa kedua dari seluruh negara menerima pembayaran semalam, selepas fasa pertama selesai pada 15 Januari lalu.

Menurutnya, wang itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian bersama isteri.

“Pakcik ada 11 anak, semuanya dah besar dan bekerja, ada keluarga masing-masing. Jadi duit ini akan pakcik gunakan untuk beli makan dan lain-lain bersama isteri," katanya.

Seorang lagi penerima, Mohammad Rasmadi Razak, 53, berkata, bantuan kerajaan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya bersama isteri, menyara sembilan anak dan seorang cucu.

“Dua anak masih bersekolah dan seorang cucu pula masih kecil. Mereka memerlukan belanja yang tinggi. Bantuan ini dapat juga menampung pendapatan saya sebagai mekanik,” katanya yang telah menerima RM600 duit BR1M fasa pertama dan kedua.

Dalam pada itu, ada juga segelintir penerima bantuan kecewa apabila baucar yang diterima adalah baucar fasa pertama.

Mohd Nasrul Mohd Nasir, 30, ditemani dua anak perempuan yang masih kecil membawa baucar RM300 itu ke bank semalam, namun hampa apabila baucar yang didakwa diterimanya kali kedua itu tidak dapat ditukarkan dengan wang tunai.

“Saya tidak tahu kenapa tetapi pihak bank beritahu ia baucar fasa pertama. Berkemungkinan saya terlewat menerimanya, menyebabkan saya tersilap dan menyangka ia baucar fasa kedua,” katanya.

Bagi penerima yang mempunyai kemusykilan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada br1m@treasury.gov.my