KUALA LUMPUR: "Adakah kita juga menanti lahirnya 1MDB yang kedua sebagai pemacu kegagalan RMK11 pula?" tanya Datuk Mahfuz Omar.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu, Rancangan Malaysia (RMK)
merupakan perancangan nasional pembangunan negara yang dibentangkan pada
setiap lima tahun.
Tambahnya, tidak dapat dinafikan bermula RMK1 sehinggalah RMK10 ada
memberikan manfaat kepada negara daripada kurang membangun sehinggalah
menjadi negara membangun dan kini menuju kepada status negara maju.
Katanya, yang terbaru, RMK11 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak di parlimen pada pagi Khamis, 21 Mei lalu.
"Untuk kita menganalisa RMK11, penting juga untuk kita membelek dan
membedah terlebih dahulu sejauhmana keberjayaan dan pencapaian RMK10
(2010-2015) dahulu?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Jikalau dahulu, ujarnya RMK1 sehinggalah RMK9, Unit Perancang Ekonomi
(EPU) merupakan pengemudi utama pembangunan negara, namun pada RMK10
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyerahkan kemudi
tersebut kepada Pemandu, agensi baru yang ditubuhkan di bawah Jabatan
Perdana Menteri.
Katanya, apabila Pemandu diberikan tauliah sebagai peneraju utama RMK10, ia merupakan kesilapan besar yang dilakukan oleh Najib.
Menurut beliau lagi, RMK10 tidak pun mencapai tahap yang sepatutnya
dicapai kerana pengemudi Pemandu terdiri daripada mereka yang tidak
berpengalaman, ilmu dan hikmah dalam membangunkan negara.
"Sungguh menyedihkan apabila kita meneliti statistik pencapaian RMK10
di bawah pimpinan Najib," ujarya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen
PAS.
Antaranya, kata beliau nilai tukaran wang Ringgit Malaysia pada Julai
2013 ialah USD1 bersamaan dengan RM3.12, kini Mei 2015, merudum kepada
RM3.60.
Hutang negara pula, ujarnya pada 2011 dahulu sebanyak RM257 billion, kini melambung naik sehingga RM740 billion.
Begitu juga, ujarnya kadar penggangguran pada 2011 adalah 3.1% tetapi
kini 2015 meningkat kepada 3.2% manakala kadar inflasi pada 2011 ialah
2.5% tetapi tahun lalu 3.3%
Lihat pula, kata beliau pada skandal terbesar dalam sejarah negara ini iaitu 1MDB.
"Bukankah aneh apabila secara tiba-tiba 1MDB muncul sedangkan ia tidak wujud pun di dalam pelan RMK10?" ujarnya.
Katanya, ia diusahakan sendiri oleh PM tanpa pengetahuan kabinet dan dan Parlimen.
Beliau berkata, akibat daripada sikap berlagak pandai itu akhirnya
kini negara terpaksa menanggung beban begitu besar sehingga RM42 bilion
hutang 1MDB.
"Bukankah ini kegagalan paling besar yang dilakukan oleh PM Najib?" katanya.
Bukan sahaja itu, katanya kini wang Tabung Haji, Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan banyak
lagi dana awam telah digunakan demi menyelamatkan 1MDB yang kian karam.
"Apa yang kita dapat lihat di dalam RMK11 yang baru dibentang itu,
pihak kerajaan masih belum bersungguh untuk mereformasi dan perubahan
besar-besaran kepada institusi penting negara dilaksanakan seperti
Parlimen, Mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan
lain-lain," ujarnya.
Hal ini, ujar beliu amat penting khususnya Parlimen agar benar-benar
berfungsi sebagai badan yang mampu berperanan dengan lebih berani dan
efektif sebagai check and balance kepada pihak eksekutif.
"Bak kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang
menzahirkan kekecewaan beliau apabila Parlimen tidak bebas dan hanya
bertindak sebagai rubber stamp kepada pihak eksekutif," katanya lagi.
Begitu juga, ujarnya pihak kerajaan masih gagal untuk menubuhkan
Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis sehingga menyebabkan pihak
PDRM masih tercengkam dan takut untuk bertindak kepada pihak eksekutif.
Hakikatnya, kata beliau PM Najib sudah pun gagal pada RMK 10 khususnya isu 1MDB.
Tambahnya, pihak kerajaan begitu bersungguh untuk mengejar status
pencapaian negara berpendapatan tinggi tetapi yang menjadi mangsanya
adalaha golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang dipaksa
menanggung bebanan akibat pelaksanaan GST.
"Jikalau pihak kerajaan masih tidak punyai keazaman dan kesungguhan
dalam membuat perubahan menangani isu boros berbelanja, ketirisan dan
salah guna kuasa, impian untuk bergelar negara maju pada 2020 kelak
tidak ubah seperti angan-angat Mat Jenin," katanya. - HARAKAHDAILY 24/5/2015
No comments:
Post a Comment