Wednesday, May 6, 2015

Rompin sudah tolak GST, bagaimana Permatang Pauh

HARAKAHDAILY | .
Culaan terbaru menunjukkan bahawa peratusan yang akan keluar undi lebih kurang 68%.

Ini adalah peratusan keluar undi yang paling rendah dalam masa 16 tahun selepas lima kali pilihan raya sejak pilihan raya umum 1999.

Apakah senarionya jika peratusan yang keluar undi jatuh hingga 68%?

Jika sokongan kepada Pakatan Rakyat masih sekuat pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, maka walaupun peratusan undi kepada Kak Wan akan menurun, namun, sekurang-kurangnya undi majoriti beliau masih tinggi iaitu lebih kurang 9,000 undi berbanding undi majoriti kepada PKR pada tahun 2013 iaitu 11,700 apabila PKR mendapat 58.6% daripada undi keseluruhan.

Namun kita perlu ingat bahawa pada tahun 2004, sokongan kepada PKR merudum kepada hanya 49.9%. Antara sebabnya adalah, kelemahan dalam kolisi pembangkang terutamanya pertelingkahan dalam isu negara Islam dan Hudud. Umno Barisan Nasional (BN) mengambil kesempatan terhadap pergolakan dalam pembangkang dan Pak Lah, Perdana Menteri ketika itu mengemukakan alternatif “Islam Hadhari” yang dilihat sebagai lebih moderat dan universal. Sudah tentu secara retrospektifnya, semua janji-janji UmnoBN ketika itu hanyalah janji kosong semata-mata. Namun ia cukup untuk memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional.

Kak Wan mungkin kalah kalau peratusan keluar undi terus menyusut

Justeru, berbalik kepada Pilihan raya Kecil Permatang Pauh kali ini, dengan mengambil senario paling teruk pernah berlaku, jika pola pengundian 2004 berulangan, maka undi majoriti Kak Wan dijangka lebih kurang 600 undi sahaja. Walaupun menang, namun kemenangan tidak selamat dalam tangan. Dalam keadaan sebegini, jika ada sedikit sahaja peralihan, contohnya penyokong Pakatan Rakyat tidak keluar mengundi ataupun dihalang dari mengundi, maka kalah-lah Kak Wan.

Rompin tolak GST

Ada sehari lagi sebelum rakyat Permatang Pauh akan membuat keputusan. Rakyat Rompin telahpun bersuara, Umno hanya menang 61.2% undi berbanding 65.5% pada 2013. Undi majoriti Umno di Rompin juga telah berkurangan. Ini jelas bermakna rakyat Rompin telah mewakili rakyat Malaysia menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

GST 6% hanya satu permulaan

Rompin sedar bahawa GST 6% hanya permulaannya. Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2014 telah berkata di Parlimen bahawa GST dijangka memberikan kerajaan pendapatan sebanyak RM23.2 billion setahun. Ini hanyalah separuh daripada hutang syarikat berkait kerajaan (GLC), 1MDB sebanyak RM42 billion. Jika pendapatan setahun GST yang dikutip daripada darah dan keringat rakyat pun tidak sampai separuh hutang hanya sebuah GLC, maka kita tahulah bahawa GST 6% hanya permulaan sahaja.

Permatang Pauh kena buat keputusan pada 7 Mei. Namun Permatang Pauh ada kelebihan berbanding Rompin. Di Rompin, hampir tidak mungkin mereka mampu menghantar seorang Ahli Parlimen yang berani lawan rejim ke Parlimen. Di Permatang Pauh, pengundi berpeluang menghantar seorang Ahli Parlimen sebegini ke dalam Dewan Rakyat meneruskan perjuangan Reformasi dan melawan rejim termasuk cukai menindas rakyat GST. Jom keluar undi! - HARAKAHDAILY 6/5/2015

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Pengarah Pilihan Raya Kecil DAP Pakatan Rakyat

No comments:

Post a Comment