Agrobank rasmi jadi perbankan Islam bermula esok  
  • Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani plak perasmian Agrobank sebagai Institusi Perbankan Islam sepenuhnya hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
PENYEDIA perkhidmatan kewangan kepada sektor pertanian, Agrobank secara rasmi menjadi institusi perbankan Islam sepenuhnya bermula esok, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  
Beliau berkata peralihan Agrobank itu melengkapkan rantaian penyediaan bekalan sumber dan hasil yang patuh syariah dari semua aspek di negara ini.
  
"Perkembangan ini dijangka meningkatkan lagi peratusan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang mematuhi syariah terutamanya daripada golongan petani," katanya pada majlis pelancaran Agrobank sebagai institusi perbankan Islam, di sini hari ini.
  
Turut hadir Pengerusi Agrobank Tan Sri Faizah Mohd Tahir.
  
Ismail Sabri berkata peralihan Agrobank kepada sistem perbankan Islam seiring perkembangan pesat sektor itu di negara ini, serta sejajar dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan Islamik kepada 40 peratus daripada keseluruhan pembiayaan di Malaysia, menjelang 2020.
  
Pada 2010, pembiayaan Islamik menyumbang 29 peratus kepada keseluruhan pembiayaan di Malaysia.
  
Beliau juga berharap bank itu menyediakan lebih banyak produk pembiayaan yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran dan hasil pertanian negara.
  
"Selain itu, rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Agrobank diharap akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang relevan seiring keperluan pembiayaan, pelaburan dan perlindungan perniagaan serta isi rumah," katanya.
  
Sementara itu, Faizah berkata penawaran pembiayaan Agrobank yang patuh syariah akan memberi lebih keyakinan kepada pengusaha makanan halal yang komited untuk menjalankan perniagaan menurut prinsip syariah.
  
"Ini bakal meningkatkan penguasaan pasaran Agrobank dalam sektor pengeluaran makanan pada masa akan datang," katanya.
  
Agrobank kini menyumbang 32.1 peratus iaitu RM2.61 bilion kepada pembiayaan sektor pengeluaran makanan daripada keseluruhan pembiayaan berjumlah RM5.5 bilion.
  
Selain itu, katanya penawaran produk perbankan patuh syariah yang menguntungkan kerana lebih telus tanpa caj tersembunyi serta menumpukan kepada perkongsian keuntungan dengan pengguna, turut menjadi tarikan kepada pengguna bukan Islam.
  
Sehingga kini, Agrobank menawarkan 25 produk perbankan Islam.
  
Selain itu, sebanyak 9,826 akaun bernilai RM352 juta atau 84 peratus daripada 11,693 akaun pinjaman konvensional, berjaya ditukar kepada akaun pembiayaan Islamik.
  
Terdahulu dalam Forum Institusi Perbankan Islam, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata pihak bank memberi tumpuan lebih kepada pembiayaan aktiviti rantaian nilai sejak lima tahun lalu.
  
"Pembiayaan kepada aktiviti rantaian nilai mencatatkan pertumbuhan yang kukuh beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun lepas sahaja pembiayaan kepada rantaian nilai bertumbuh antara 12 peratus dan 13 peratus," katanya.
  
Wan Mohd Fadzmi berkata bank itu menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pembiayaan sektor pengeluaran makanan kepada 40 peratus daripada 32.1 peratus ketika ini, dalam tempoh 24 bulan.
  
Selain itu, katanya Agrobank turut menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan antara 12 dan 13 peratus dalam pembiayaan kepada aktiviti rantaian nilai.
  
Sementara itu, katanya untuk pembiayaan tahun ini, Agrobank mengunjurkan hampir RM3 bilion pembayaran kasar dengan nilai pertumbuhan antara RM600 juta dan RM700 juta.
  
Forum bertajuk 'Jihad Ekonomi dalam Pelaksanaan Perbankan Islam: Perspektif Baru' dianjur bersempena pelancaran Agrobank sebagai institusi perbankan Islam. - Bernama