Monday, July 6, 2015

Bapa saudara kanak-kanak mangsa dera turut ditahan

Sinar Harian
dera
Keadaan belakang badan kanak-kanak itu yang penuh parut.
KOTA BHARU - Siasatan terhadap dua individu yang merupakan bapa saudara mangsa dera, Nur Zuliana Zaara, 5, dikenali Yaya masih dijalankan dan tempoh tahanan reman terhadap kedua-duanya, kini masih dilanjutkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dua bapa saudara kanak-kanak itu ditahan di Kota Bharu sejak tiga hari lalu.

"Kita masih jalankan soal siasat terhadap kedua bapa saudara mangsa untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes terbabit.

"Kes ini perlu diberi perhatian serius memandangkan ia melibatkan penderaan kepada kanak-kanak terbabit yang mengalami kecederaan parah dan kita yakin dapat selesaikannya dalam masa terdekat," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai dan anggota serta Sukarelawan Simpanan Polis Di I‎bu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini petang semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa dera perlu kaunseling elak dendam]

Sementara itu, tempoh reman ibu tiri dan bapa kepada Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5, atau Yaya dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak perempuan tersebut.

Perintah reman sehingga 12 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Redza Azhar Rezali.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini selepas selesai mendapatkan tempoh lanjutan reman.

Terdahulu sebelum itu, pasangan suami isteri berkenaan dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret Pasir Mas dengan diiringi anggota polis pada jam 8.30 pagi.

Suri rumah berusia 25 tahun dan suaminya seorang peniaga aksesori kereta berusia 39 tahun dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 mendatangkan kecederaan parah.

Sebelum ini kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

No comments:

Post a Comment