Wednesday, July 15, 2015

Isu kewangan negara tenat buat rakyat keliru

Sinar Harian
Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah
SHAH ALAM – Rakyat sebenarnya terkeliru kerana terlalu banyak dakwaan mengenai penyelewengan dana melibatkan pemimpin negara dan badan pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
 
Walhal katanya, semua dakwaan yang disebarkan berkaitan isu tersebut hanya satu isu yang tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.
 
“... kita sedang dibanjiri berita buruk mengenai keadaan tenat kewangan negara. Berbagai kontroversi serta kononnya skandal kewangan besar-besaran yang menjadi buah mulut hangat diperkatakan di media sosial. Rungutan mengenai keadaan buruk ini kedengaran di sana-sini. Kedudukan tersepit syarikat pelaburan negara, 1MDB, tidak kurang diperkatakan.
 
“Bagaimanapun apa yang nyata ialah semuanya ini cuma omong kosong yang tidak membawa apa-apa faedah. Hakikatnya rakyat kini terkeliru kerana terdapat terlalu banyak kenyataan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan tidak mencerminkan keadaan sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
 
Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada semua pihak khususnya pemimpin negara untuk berusaha bersama-sama dalam membantu mengatasi masalah tersebut.
 
“Kita menaruh penuh harapan agar masih ada lagi maruah di negara tercinta ini. Juga diharapkan akan tampil budiman bermaruah yang mampu memberi keterangan berasaskan fakta berkaitan yang ada pada mereka demi mententeramkan keadaan.
 
“Mereka hendaklah berpegang teguh kepada prinsip, tanpa berganjak daripada pegangan moral. Sekiranya inilah keadaannya, sudah tentu kita tidak perlu mengadakan soal siasat dan penyiasatan. Jikalau masalah serta fakta berkaitan diketahui, kenapa tidak berterus terang?,” katanya selain menjelaskan bahawa langkah tersebut merupakan salah satu usaha mengembalikan keyakinan rakyat.
 
Dalam perkembangan terbaharu semalam,  Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, laporan awal oleh Ketua Audit Negara yang menyiasat aktiviti 1MDB tidak menemukan sebarang bukti salah laku.
 
"Sehubungan itu, dakwaan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak termasuk berkenaan 'kehilangan' RM42 bilion dan pemindahan US$700 juta kepada individu tertentu tidak berbangkit," katanya

No comments:

Post a Comment