Keluarga Anwar mendakwa beliau dihantar semula ke
Penjara Sungai Buloh dalam keadaan tergesa-gesa walaupun belum sihat
sepenuhnya.
PETALING JAYA: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan
rawatan kesihatan yang diberikan kerajaan kepada Ketua Umum PKR itu.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin
berkata, Anwar telah dibawa keluar secara tergesa-gesa dari Hospital
Kuala Lumpur (HKL) pada 12 Julai lalu sedangkan beliau masih belum
bersedia sepenuhnya.
Katanya, Anwar masih memerlukan rawatan berterusan serta siasatan
lanjut bagi memastikan beliau benar-benar sihat sejak beliau dimasukan
ke HKL pada 7 Julai.
“Pasukan doktor pakar telah memaklumkan kepada keluarga Anwar bahawa
alasan untuk menghantar beliau semula ke Penjara Sungai Buloh adalah
atas alasan kesukaran logistik kakitangan dan kepadatan wad akibat
denggi.
“Malangnya pasukan ini gagal untuk meyakinkan keluarga bahawa Datuk
Seri Anwar Ibrahim benar – benar bersedia secara fizikal untuk di hantar
semula ke Penjara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Afif berkata, dia dimaklumkan bahawa Anwar perlu manjalani rawatan
fisioterapi yang interakif serta pemantauan berterusan sehingga satu
diagnosa dikenal pasti.
Sehubungan itu, katanya, AMK menggesa supaya Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kesihatan Datuk Dr S.
Subramanium untuk bertindak bagi memastikan Anwar mendapat rawatan
kesihatan yang profesional sehingga beliau benar-benar sembuh.
“Kami juga menggesa agar ketua kepada pasukan doktor pakar ini, Datuk
Dr Jeyaindran Tan Sri Sinnadurai, diganti bagi mengelakkan persepsi dan
kesangsian terhadap tahap profesionalisme beliau memandangkan
penglibatan beliau sebelum ini di dalam kes Fitnah Liwat II dan beberapa
organisasi tertentu,” katanya
FMT

No comments:
Post a Comment