Tuan Ibrahim Tuan Man
(Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: PAS
berpendapat, pihak yang menganggap Sarawak Report menyebarkan fitnah
terhadapnya perlu menfailkan saman bukan menyekat laman web itu.
Kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu, tindakan
menyekat laman Sarawak Report bakal 'memakan diri' kerajaan Malaysia
kerana ia akan menyemarakkan keinginan ramai untuk membaca apa yang
dipaparkan.
Malahan, parti itu juga berpendapat, langkah Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu juga satu kesilapan besar kerana ia
akan menyebabkan rakyat lebih percayakan Sarawak Report berbanding
kerajaan.
"Di alam internet hari ini, sekatan itu tidak akan menjadi efektif.
"Kedua, alasan yang mengatakan laman itu mengganggu “kestabilan
negara” itu tidak betul kerana yang mengganggu "kestabilan negara" ialah
masalah 1MDB dan cara 1MDB melangsaikan hutangnya.
"Selepas Tabung Haji, KWSP, KWAP kini TNB pula muncul untuk berniaga
dengan 1MDB dengan cadangan membeli 13 aset tenaga 1MDB. Apakah rakyat
akan menanggung kos perniagaan ini melalui bayaran tarif elektrik yang
lebih tinggi selepas ini," soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan,
Isnin.
Kata Tuan Ibrahim lagi, bagi menjamin kestabilan negara, sepatutnya
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat 1MDB harus mengemukakan tarikh untuk
menyiapkan siasatan secepat mungkin, malah menjamin bahawa hasil
siasatan akan dibentang secara awam.
"Saya berharap kes penangkapan bekas pengarah PetroSaudi
International Xavier Andre Justo yang menyebabkan terbangkitnya isu
penjualan maklumat palsu mengenai 1MDB bukanlah alasan untuk
melengah-lengahkan atau menghentikan siasatan yang sedang dibuat Pasukan
Petugas Khas pada akhirnya," katanya.
Selain itu, beliau juga mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak akan menyaman WSJ kerana tempoh 14 hari yang diberikan
bermula 8 Julai untuk menuntut penjelasan akan tamat dua hari lagi.
"Jika Najib tidak jadi menyaman WSJ, maka Najib perlu bercuti dengan
kadar segera," katanya lagi sambil menyarankan presiden Umno itu
menunaikan ibadah umrah.
No comments:
Post a Comment