Saturday, July 4, 2015

PM perlu kemuka bukti dan saman WSJ

HARAKAHDAILY | .
Saya meneliti perkembangan berkaitan dengan laporan oleh Wall Street Journal (WSJ) yang dengan jelas mengatakan bahawa sejumlah besar wang telah diuruskan seperti satu operasi penggubahan wang haram sebanyak RM700 juta dan akhirnya masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

WSJ memetik dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan, yang telah diperolehi oleh akhbar kewangan antarabangsa itu.

Dalam satu lagi laporan oleh Sarawak Report pula, pada sekitar tahun 2013, sebanyak RM2.6 billion wang telah dipindahkan ke akaun peribadi PM. Dan bukan itu sahaja, terdapat lagi beberapa transaksi yang meragukan, melibatkan jutaan ringgit.

Jumlah wang yang begitu banyak yang dikatakan dipindah ke akaun PM itu, dikatakan juga melibatkan sebahagian dari wang dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang dipinjamkan bagi pengurusan 1MDB.

Dunia sedang memerhatikan Malaysia kerana isu ini tidak hanya melibatkan hal dalaman negara, malah lebih jauh dari itu, ia juga melibatkan campurtangan dari negara luar yang ada dilaporkan terbabit dalam kes ini. Jangan nanti Malaysia akan digelar Greece Asia kerana isu-isu yang boleh menjahanamkan ekonomi kita.

Saya sebagai rakyat Malaysia, yang mencintai negara ini, saya merasa sangat kecewa dengan laporan ini yang saya yakin dan percaya melibatkan maruah negara kita ini.

Oleh kerana WSJ adalah sebuah akhbar yang menjadi rujukan dalam dunia koperat antarabangsa, maka saya menggesa agar PM bersegera tampil menafikan dengan bukti tuduhan berat ini dan sekaligus membersihkan nama PM serta Malaysia di mata dunia. Atau jika gagal, anda mesti tahu akan akibatnya. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
17 Ramadhan 1436 bersamaan 4 Julai 2015

1 comment:

  1. blh ke skandal kewangan begitu besar di reka2 oleh WSJ ?

    kalau tuduhan itu kdp anwar, rakyat susah percaya seb anwar tiada satu pun kes merompak duit rakyat

    tp kalau tuduhan itu kena pada peminat altantuya yg byk isu dikaitkan dgn beliau, susah juga nk tolak tuduhan itu

    ReplyDelete