Sinar Harian
Kes jenayah
ALOR SETAR - Polis telah menemui senjata tajam yang digunakan oleh
suspek wanita untuk memotong bayi perempuannya kepada lapan bahagian
dalam kejadian yang berlaku di Kampung Manggol, Jitra.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitendan Abdul Rahim Abdullah
berkata, sebilah pisau pemotong sayur berukuran 20cm ditemui dalam bekas
polisterin berwarna putih dalam bilik mandi rumah datuk suspek
kira-kira 6.15 petang semalam.
Beliau berkata, suspek yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB) di sini telah membawa anggota polis ke tempat kejadian
dengan menunjukkan senjata yang digunakannya itu.
"Polis telah merampas pisau itu untuk dijadikan barang kes," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Katanya, suspek yang belum berkahwin itu telah dibebaskan dengan
jaminan polis pada petang semalam sementara menunggu laporan DNA bayi.
Abdul Rahim berkata, laporan penyiasatan lengkap akan dirujuk kepada
Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di Mahkamah Jitra mengikut Seksyen
318 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali akan dikenakan.
Pada 7 Julai lepas, seorang wanita berusia 31 tahun ditahan berikutan
penemuan beberapa bahagian bayi yang baru dilahirkan di dalam tangki
tandas rumah datuknya. - Bernama
No comments:
Post a Comment