Sunday, July 26, 2015

Tidak boleh gopoh hendak paksa parti terima idea kita

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: "Kita perlu kesabaran ketika kita mengendalikan PAS. Tidak boleh gopoh hendak memaksa idea kita diterima oleh parti.
"Mungkin idea kita tidak boleh diterima hari ini. Insya Allah akan menjadi realiti pada masa akan datang," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau mengambil contoh Prof Zulkifli Mohammad yang mencadangkan ahli bersekutu pada tahun 60-an ditolak dan tuduh sebagai pengkianat.
"Akhirnya setelah 50 tahun baru PAS laksanakan. Beliau sabar dan istiqamah dalam PAS," ujarnya.

Oleh kerana itu, dari dahulu lagi, beliau selalu menyebut kepada orang yang mencerita kelemahan PAS menyebabkan mereka tidak berminat dengan PAS.
"Saya menjawab, jika saudara boleh menulis 50 halaman kelemahan PAS, saya boleh menulis 500 halaman kelemahan PAS. Mana ada pertubuhan yang tidak ada masalah," ujarnya.

Beliau menambah, bukan senang hendak menguruskan parti yang berada di padang demokrasi yang tidak rata.
Namun, jelasnya PAS tetap segar dan memperbaiki kelemahan dan melakukan tajdid dalam berbagai sudut.

Baginya, PAS sebagai universiti kedua memberi peluang keemasan yang tidak dimiliki ketika belajar di universiti pertama.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, ini kerana PAS merupakan medan praktikal, bukan teori.

Justeru, ujarnya berapa ramai di kalangan mereka yang tidak berpeluang untuk memasuki universiti, tetapi berjaya membina keterampilan diri hasil daripada penglibatan mereka di dalam PAS. - HARAKAHDAILY 26/7/2015

No comments:

Post a Comment