Sunday, August 23, 2015

Diugut agar rahsiakan kejadian


Diugut agar rahsiakan kejadian
Ahmad Naqiuddin menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian dia dibuli dan dipukul oleh sekumpulan pelajar senior sehingga cedera pada mata kanan, di sebuah kolej di Tanah Merah, baru-baru ini.
TUMPAT – Bukan hanya dibuli, malah anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk turut mendedahkan dia diugut supaya merahsiakan kejadian dipukul oleh sekumpulan pelajar senior di sekolahnya.

Mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Naqiuddin, 16, memberitahu, mata kanannya lebam akibat dipukul dan dibuli pelajar senior di sebuah kolej di Tanah Merah, Selasa lalu.

Menurutnya, dia ditumbuk dan disepak oleh sekumpulan pelajar senior pada kira-kira jam 5.15 petang dalam sebuah kelas di tingkat empat kolej berkenaan.

"Saya ke tempat kejadian selepas dipanggil oleh seorang pelajar senior dan disuruh mengikutnya naik ke tingkat empat. Sampai di kelas terbabit, saya dapati sudah ada lebih kurang 10 orang sedang menunggu dalam kelas itu...saya kenal tiga daripada mereka.

"Hanya saya dan kumpulan pelajar senior itu berada dalam kelas berkenaan ketika itu...pelajar lain dah balik kerana sesi persekolahan tamat. Mereka terus pukul dan sepak saya," katanya.

Ketika menceritakan kejadian, Ahmad Naqiuddin memberitahu, salah seorang daripada pelajar senior terbabit telah menumbuk matanya sehingga menyebabkan pandangan matanya kabur dan kejadian juga menyebabkan mangsa merasa sakit-sakit pada badannya.

Ahmad Naqiuddin menjelaskan, dia terpaksa merahsiakan kejadian berkenaan kerana telah diugut oleh pelajar senior terbabit agar tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa pun.

"Bagaimanapun rahsia ini terbongkar apabila sepupu saya yang belajar di kolej sama menceritakan kejadian kepada keluarga.

"Saya ada terima rawatan di sebuah klinik di Tanah Merah tetapi terpaksa membohongi doktor dengan mengatakan mata saya lebam kerana terkena bola ketika bermain bola sepak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Batang, di sini, semalam.

Katanya, alasan sama turut digunakan untuk menjelaskan kecederaan dialami kepada ibu bapanya, namun disebabkan sepupunya telah menceritakan segala yang berlaku, dia terpaksa juga menceritakan kejadian sebenar.

"Saya tak tahu apa motif sebenar pelajar senior terbabit pukul saya...saya tak pernah ada masalah dengan mereka," katanya yang memaklumkan telah membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Wakaf Bharu, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment