HANYA kerana satu kesilapan, seluruh hidupnya berubah, dari seorang yang bebas bergerak ke mana sahaja, kini tembok besi menjadi pemisah hakiki, bukan untuk 10 atau 20 tahun, malah sepanjang hayatnya.

Tidak ada apa yang mampu dilakukan kini selain pasrah dan berserah dengan segala takdir yang sudah tertulis buatnya, hanya itu satu-satunya pilihan yang ada.

Pertama kali melihat raut wajah wanita berusia 35 tahun ini yang tidak lekang dengan senyuman, penulis tidak menyangka dia sebenarnya menggalas beban cukup berat dek kerana tindakan nekadnya 10 tahun lalu.

Walaupun pada mulanya agak kekok dan tergambar keresahan di hatinya, mungkin memikirkan wajah yang mungkin didedahkan kepada umum, wanita berkulit hitam manis hanya mahu dikenali sebagai Nur ini cuba memberikan kerjasama sebaiknya dan menjawab pertanyaan penulis satu persatu.

Menyedari ketidakselesaan Nur dari raut wajah yang kelihatan agak bimbang, penulis segera menjelaskan bahawa nama dan wajahnya tidak akan didedahkan malah sedaya upaya menjaga kerahsiaan sumber kami.

Memulakan persoalan tentang bagaimana Nur boleh terpenjara di sebalik tirai besi berkenaan, ibu tunggal warga Filipina itu berkata, desakan hidup mendorong dirinya memilih jalan mudah untuk hidup senang biarpun sedar ia menyalahi undang-undang.

Nur yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun berkata, kehidupan  sebagai penyanyi band dengan pendapatan tidak menentu membuatkan dia nekad memilih jalan singkat apabila menerima tawaran membawa masuk dadah ke negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya percubaan pertama pada 2005 itu telah memusnahkan segala impiannya apabila ditahan pihak berkuasa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Nur dijatuhi hukuman gantung sampai mati berikutan kuantiti dadah yang dibawa agak banyak, dan menjalani hukuman di Penjara Kajang sementara menunggu hukuman dijalankan, sembilan tahun di Penjara Kajang dan Oktober lalu dia dipindahkan ke sini (Penjara Pengkalan Chepa).

“Alhamdulillah seminggu sebelum hari raya saya menerima berita yang cukup menggembirakan apabila terpilih menerima pengampunan daripada Sultan Selangor sekali gus meringankan hukuman kepada penjara seumur hayat,” katanya.

Dia yang memeluk Islam pada 2011 mengakui cukup lega menerima keputusan itu, namun jauh di sudut hatinya dia berharap ALLAH akan terus memakbulkan permintaannya untuk keluar dari tembok besi yang memisahkan dirinya dengan keluarga dan masyarakat luar.

Nur berkata, dia akan terus berdoa dan meminta kepada ALLAH sepenuh hati sebagaimana yang dilakukan sebelum ini agar terus diberi peluang kedua dalam hidupnya supaya meneruskan hidupnya seperti orang lain.

“Kesempatan pada Ramadhan kali ini saya gunakan sepenuhnya untuk beribadat dan berdoa dengan sepenuh hati agar saya diberi peluang kedua, dan saya tahu ramai juga dalam kalangan kakitangan penjara mendoakan saya.

"Alhamdulillah saya terima berita mengenai pengampunan ini seminggu sebelum Aidilfitri, bagaikan mati hidup semula, ia memberi harapan baru buat saya,” katanya.

Apa yang menyentuh naluri penulis sebagai seorang ibu, Nur begitu tabah menceritakan tentang anak tunggalnya yang ditinggalkan 10 tahun lalu, dan dalam tempoh itu jugalah dia terpaksa merahsiakan keadaan dirinya yang terpenjara di sebalik tirai besi ini.

“Keluarga tahu saya di sini, tetapi ia akan terus rahsiakan daripada pengetahuan anak yang kini tinggal bersama mertua, dan kami hanya berhubung melalui telefon ketika dia berkunjung ke rumah keluarga saya setiap kali cuti sekolah,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Nur berpesan agar golongan muda tidak mudah terpedaya dengan taktik dan tawaran lumayan serta janji-janji manis untuk melakukan pekerjaan seperti ini, kerana kesudahannya tidak dapat dijangkakan.

Seorang lagi penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Has, 31, berkata, dia menjadi penghuni di Penjara Pengkalan Chepa sejak sebulan lalu selepas polis menemui dua biji pil kuda bersamanya.

Menurutnya, ketika itu dia dan suami serta anak mereka berusia enam bulan dalam perjalanan ke Jeli sebelum ditahan dalam satu sekatan jalan raya.

“Kesudahannya kami tiga beranak terkurung di sini, dan hari raya ini merupakan yang pertama diraikan di penjara, sedih, sayu dan kesal semua menghantui diri ini apabila terpaksa meninggalkan dua lagi anak berusia 12 dan 10 tahun bersama ibu,” katanya.

Has berkata, apa yang menimpa dirinya adalah yang pertama dan terakhir, malahan dia berazam untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke tempat itu.

Malah sehingga kini dan hari- seterusnya dia akan terus merahsiakan kejadian yang menimpa diri dan suami kepada kedua-dua anaknya bimbang menjejaskan prestasi pendidikan mereka.

Kedua-dua penghuni ini ditemui Sinar Harian ketika Majlis Jalinan Kasih sempena Aidilfitri Banduanita Penjara Pengkalan Chepa bersama isteri bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datin Sri Feona Sim (yang mengadakan kunjungan sebelum rombakan Kabinet).