Monday, August 31, 2015

Remaja OKU terjatuh perigi buta


Remaja OKU terjatuh perigi buta
Anggota bomba berusaha mengeluarkan Fawwaz. - Foto Sinar Harian
PASIR MAS - Seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) cedera ringan selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi buta di Kampung Tendong di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu mangsa yang dikenali sebagai Fawwaz, 15, dikatakan membawa diri sejauh 200 meter dari rumahnya selepas merajuk akibat dimarahi oleh salah seorang ahli keluarganya.
Mangsa yang tinggal bersama datuk dan neneknya itu dikatakan merajuk selepas melakukan satu kesalahan.
Menceritakan kejadian berkenaan,  Fawwaz berkata, dia hanya menumpang duduk di atas perigi itu selepas penat berjalan.
"Tiba-tiba badan saya tergelincir jatuh ke dalam perigi, nasib baik tiada air di dalamnya," katanya.
Akibat kejadian tersebut Fawwaz mengalami luka kecil di pergelangan tangan kanannya dan sakit-sakit badan.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, PBK II Zamri Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.10 malam.
Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa selama 25 minit untuk mengeluarkan mangsa dari perigi buta tersebut menggunakan tali.
"Mangsa hanya mengalami cedera ringan selepas jatuh ke dalam perigi sedalam 6.5 meter," katanya.

No comments:

Post a Comment