Monday, September 21, 2015

UMNO cawangan anjur forum tolak kepimpinan Najib

 | September 21, 2015
Forum itu turut akan disertai oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

tun m forum
PETALING JAYA: Kecewa dengan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan mengadakan forum khas.

Forum bertemakan “Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa”, turut menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucapan.

Mengulas mengenainya, Ketua UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman mendakwa ia diadakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti yang ada sekarang.

Katanya, majoriti akar umbi UMNO cawangannya sudah tidak memihak kepada Najib disebabkan beberapa tekanan yang dihadapi rakyat seperti bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),
masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kenaikan kos barang dan kejatuhan nilai Ringgit.

“Forum ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan UMNO tetapi hanya mahukan Najib berundur. Kita mahu selamatkan UMNO daripada terus rosak.
“Benar, kita akan jemput Tun Mahathir ke dalam forum itu dan diharap rakyat dapat mengambil kesempatan untuk bertanyakan kepada Tun Mahathir mengenai masalah yang sedang dihadapi UMNO dalam forum itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Forum berkenaan dijangka akan dianjurkan pada 3 Oktober ini, jam 3 petang di Ballroom, De Palma Hotel, Ampang Selangor Darul Ehsan.
FMT

No comments:

Post a Comment