Malaysiakini 18/10/15
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bersidang Isnin
ini akan menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa anggota Parlimen
daripada BN dan pembangkang berikutan rentetan persitiwa dalam senario
politik kebelakangan ini.
Kedudukan barisan anggota Parlimen PAS,
yang diketuai presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini telah berubah
dari Blok I ke Blok G dan ada yang di Blok F.
Sebelum ini, semasa
bersama dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berserta beberapa pemimpin
kanan parti itu diletakkan bersama dengan kepimpinan parti PKR dan DAP
di Blok I, mengikut rajah tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat yang
dimuatkan dalam laman web Parlimen Malaysia www.parlimen.gov,my.
Tempat
duduk PAS kini telah diisi oleh parti baru, Parti Amanah Negara
(Amanah), yang merupakan parti serpihan PAS, yang kini telah bergabung
dengan PKR dan DAP dan menamakan gabungan mereka sebagai Pakatan
Harapan.
Naib Pengerusi parti itu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
(Amanah-Parit Buntar) kini duduk sebaris dengan Presiden PKR, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan ketua pembangkang dan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
(DAP-Bagan) di Blok I, iaitu di I-3.
Turut berada dalam Blok I
tersebut adalah ahli jawatankuasa parti itu Mohamed Hanipa Maidin
(Amanah-Sepang), ahli jawatankuasanya Khalid Abd Samad (Amamah-Shah
Alam), ketua wanitanya Siti Mariam Mahmud (Amanah-Kota Raja) dan
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu).
Seorang
lagi anggota parti itu iaitu ahli jawatankuasa parti itu, Dr Mohd Hatta
Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) ditempatkan di Blok H sebaris dengan
Timbalan Pengerusi PKR, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Timbalan
Pengerusi DAP, Tan Kok Wai (DAP-Cheras) dan Naib Presiden PKR, Nurul
Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).
PAS kini hanya mempunyai 14 anggota Parlimen berbanding 21 sebelum ini.
Selain
anggota Parlimen PAS yang menyertai Amanah, seorang lagi anggota
Parlimen PAS dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar telah menyertai PKR
pada 11 Sept lepas.
Sementara itu, anggota Parlimen DAP veteran,
Dr Tan Seng Giaw kini telah dipindahkan ke Blok F. Sebelum ini, beliau
adalah antara anggota Parlimen DAP yang ditempatkan bersama pemimpin
kanan parti pembangkang di Blok I.
Kedudukan tempat duduk ahli
Parlimen dari Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat turut berubah
berikutan pengguguran lima anggota Parlimen BN daripada Kabinet pada
rombakan 28 Julai lepas.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang
menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri
kini ditempatkan di barisan pertama Blok A sebelah Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala Muhyiddin diletakkan di barisan
pertama Blok E, bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Joseph
Pairin Kitingan.
Turut ditempatkan di Blok E ialah bekas menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas
presiden MIC dan bekas menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G
Palanivel, bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan bekas menteri Sains, Teknologi
dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin.
Tempat Palanivel sebelum ini di
Blok A, diganti oleh Presiden MIC baru, Datuk Seri Dr S Subramaniam,
yang juga Menteri Kesihatan.
Sementara kedudukan kerusi barisan
menteri yang baharu dilantik turut berubah termasuk Datuk Hamzah
Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)
dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan
Alam Sekitar).
Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan),
Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi),
Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan
Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
II).
Selain beberapa perubahan dengan pelantikan baru jawatan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan
Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Timbalan
Menteri Dalam Negeri, Masir anak Kujat, Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri
Asas Tani, Nogeh anak Gumbek
Selain itu, muka baharu dalam Dewan
Rakyat terdiri daripada Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said
Keruak yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki dan Senator Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan.
Persidangan
Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin ini akan berjalan selama 25 hari
dijangka hangat dengan pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini oleh
Najib serta isu-isu semasa.
Najib juga dijangka mengemukakan usul
untuk menamakan anggota Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin sebagai
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baharu bagi
menggantikan Nur Jazlan yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Dalam
pada itu, laporan akhir persempadanan semula bahagian-bahagian Pilihan
Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka dibentangkan pada persidangan kali
ini berikutan kemungkinan ia akan diadakan awal tahun depan.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dipetik sebagai berkata
pembentangan laporan itu bagi membolehkan 11 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) yang baharu diwujudkan, mendapat kelulusan dan diwartakan,
sekali gus menjadikan keseluruhannya 82 kerusi DUN dipertandingkan pada
PRN Sarawak ke-11.
Dalam pada itu, lima rang undang-undang
dijadual untuk dikemukakan bagi bacaan kali pertama iaitu Rang Undang
Undang Perbekalan 2016, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Perbadanan
Insuran Deposit Malaysia (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Syarikat 2015 dan dan Rang Undang-Undang Skim Kepentingan 2015.
Empat
lagi rang undang-undang yang dibawa dari mesyuarat lepas turut
disenarai untuk dikemukakan bagi bacaan kali kedua iaitu Rang
Undang-undang Keterangan (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Tatacara
Jenayah (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu
2015, Rang undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014.
-Bernama
No comments:
Post a Comment