Ia perlu bagi memperkasa SPRM dan mewujudkan persekitaran yang bebas dari rasuah.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menggesa agar
kerajaan segera meluluskan pembentukan syor penambah baikan
undang-undang rasuah bagi memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM).
Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata ia perlu bagi memperkasakan
SPRM selain mewujudkan persekitaran yang bebas dari rasuah di negara
ini.
“Meskipun beberapa syor dan cadangan telah dikemukakan untuk penambah
baikan undang-undang pencegahan rasuah, tetapi sehingga kini masih
belum dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan.
“Ini tahun ketiga saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai
Rasuah, kami telah mencadangkan perubahan-perubahan ke atas Akta SPRM
2009 bagi membawa penambah baikan demi memperkukuhkan SPRM.
“Namun, saya tidak pasti sama ada perubahan ini akan dibawa ke
Parlimen pada sesi ini (yang akan bermula 19 Oktober 2015), tetapi saya
berharap pindaan-pindaan yang telah disyorkan sebelum ini akan dibawa
sebelum penggal saya sebagai ahli Dewan Negara berakhir April 2016,”
kata Abu Zahar.
Mengulas lanjut, antara perkara yang disyorkan termasuk pembentukan
satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia, selain aspek
pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Perlembagaan Persekutuan,
pindaan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009.
“Saya juga berharap agar satu peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam dibentuk,” katanya lagi.
Ahli JKMR terdiri daripada Ahli Parlimen iaitu Tan Sri Abu Zahar; Dr.
Tan Seng Giaw, Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi, Datuk Ir.
Irmohizam Ibrahim, Datuk Fauzi Abd Rahman, Dato’ Takiyuddin Hassan dan
Datuk Noraini Ahmad.
FMT

No comments:
Post a Comment