JOHOR BAHRU – DAP Johor tidak berasa tergugat sekiranya Pas meletakkan
calon di kawasan yang ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU)
akan datang dan menganggapnya sebagai satu persaingan sihat dalam negara
demokrasi.
Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata, tentangan dari Pas tidak akan
memberi impak besar kepada parti itu dan yakin mereka dapat mengekalkan
kerusi dengan majoriti undian lebih tinggi hasil sokongan pengundi
pelbagai kaum.
“Semua parti perlu faham senario di Johor bahawa dua pertiga daripada
kerusi yang dipertandingkan terdiri dari komposisi pengundi pelbagai
kaum. Jadi semua parti termasuk Pas perlu dapat sokongan semua kaum
bukan hanya Melayu.
“Menerusi gabungan Pakatan Harapan saya yakin DAP dapat mengekalkan
kedudukan dan menambah kemenangan dalam PRU akan datang,” katanya ketika
dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pas Johor untuk
menambah bilangan kerusi pada PRU akan datang termasuk meletakkan calon
bukan Melayu di kawasan ditandingi DAP serta kawasan bukan majoriti
Melayu.
Chin Tong berkata, Pas sebelum ini berjaya memenangi empat kerusi Dun
hasil sokongan pengundi pelbagai kaum dan parti itu akan berdepan
cabaran mengekalkan kemenangan sekiranya masih mengamalkan kepimpinan
yang tidak terbuka.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah),
Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan antara semua parti pembangkang
termasuk Pas perlu diadakan bagi memastikan tidak berlaku pertindihan
kerusi menentang BN.
“Pas berhak bertanding di mana-mana kawasan tapi semua parti
pembangkang perlu memahami hasrat rakyat yang mahukan perubahan dan
menukar kerajaan. Pertembungan tiga penjuru adalah langkah yang tidak
bijak.
“Sekiranya ia berlaku pastinya BN dan Umno akan terus menang dan kekal
sebagai pemerintah. Perbincangan antara semua parti pembangkang perlu
diadakan bagi mencari penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut menasihatkan Pas supaya
mempertimbangkan peluang kemenangan mereka untuk meletakkan calon di
setiap kawasan dan tidak hanya membuat keputusan mengikut emosi.
Pas Johor pada PRU-13 lalu turut meletakkan dua calon bukan Islam iaitu
Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chaw di Parlimen
Ayer Hitam manakala Ketua Wanita DHPP, R Kumutha di Dun Tiram.
Pan Chaw yang menentang calon BN, Datuk Wee Ka Siong kalah dengan
undian sebanyak 14,735 berbanding 22,045 milik Ka Siong dengan
kemenangan majoriti 7,310 undian.
Sementara itu, Kumutha mendapat 16,273 undi berbanding penentangnya
calon BN, Datuk Maulizan Bujang yang meraih 23,716 undian dengan
majoriti kemenangan 7,443 undian.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment