Thursday, November 26, 2015

Muhyiddin: Tiada siapa boleh diamkan saya

25/11/15

Timbalan Presden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menghormati keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti semalam yang memutuskan beliau tidak dibenarkan merasmikan persidangan sayap-sayap parti sebagaimana lazimnya.
Namun katanya, dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka, tiada siapa yang boleh mendiamkannya.
“Saya juga ingin mengingatkan mereka bahawa dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka, tiada siapa yang boleh mendiamkan saya.

“Saya akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan saya di dalam Umno bukanlah untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, bekas timbalan perdana menteri itu turut mendakwa, beliau diberitahu ada pihak tertentu yang cuba menghalangnya daripada memberikan ucapan pada persidangan sayap-sayap parti.
Malah beliau turut mempersoalkan tindakan tersebut sedangkan berucap dan menyampaikan amanat dari timbalan presiden kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah perkara tradisi semasa persidangan agung Umno.
"Saya diberitahu ada pihak-pihak tertentu yang mahu menghalang saya daripada berucap. Apalah dosa yang telah saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?

"Sejak enam tahun yang lalu sebagai timbalan presiden menyampaikan amanat kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang datang dari segenap pelusuk negara sentiasa saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab.
"Nampaknya saya tidak berpeluang lagi untuk menyampaikan amanat saya dalam satu majlis yang amat bermakna buat saya sebagai timbalan presiden," katanya.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak selaku presiden parti mengumumkan timbalan presiden Umno tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan bagi ketiga-tiga sayap parti itu.

Ia memecah tradisi dengan membenarkan ketua Wanita, Pemuda dan Puteri merasmikan perhimpunan agung mereka sendiri kali ini.
"Ini adalah cadangan daripada ketiga-tiga sayap parti. Inilah apa yang mereka mahu dan kami menghormati hasrat mereka," kata Najib.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment