Tuesday, December 1, 2015

Husam dan kerajaan Kelantan diarah ‘kunci mulut’


 | November 30, 2015

Tindakan itu diambil bagi memudahkan Pas menjalankan siasatan berhubung dakwaan Husam Musa terhadap kerajaan Kelantan.

tuan-ibrahim,husam-musa
KUALA LUMPUR: Datuk Husam Musa dilarang membuat sebarang kenyataan kepada media sehingga dakwaannya terhadap kerajaan Kelantan dan pimpinan Pas selesai disiasat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata arahan itu bagi mengelak berlaku sebarang polemik antara kedua-dua pihak.

Katanya, keputusan yang diambil itu juga telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Kita juga bersetuju bahawa perkara-perkara yang melibatkan urusan dalaman parti, kerajaan negeri dibuat menggunakan platform parti dan diselesai mengikut saluran parti serta tidak diviralkan kepada umum.
“Kita juga bersetuju tidak akan ada sebarang kenyataan daripada beliau (Husam) dan kerajaan negeri yang boleh menimbulkan polemik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata buat masa ini tidak ada sebarang tindakan lagi yang dibuat terhadap Husam.

Beliau juga mengesahkan telah menerima dokumen dan bukti berhubung kenyataanya Husam itu.
“Hari ini tidak ada sebarang keputusan dibuat terhadap beliau sebab ini bukan jawatankuasa disiplin.
“Kita juga telah menerima segala dokumen serta bukti daripada beliau dan pertemuan hari ini sangat baik….Dokumen tersebut juga akan diteliti dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata segala penjelasan beserta bukti yang dikemukakan oleh Husam akan disiasat dengan teliti.
Beliau juga tidak menolak sekiranya Husam akan dipanggil semula bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan itu.
“Parti akan teliti bukti yang dikemukakan itu dan jika dirasakan perlu kita akan panggil Husam semula,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment