Baginda juga menegur ahli politik yang tidak turun padang dan meluahkan kebimbangan ketidakstabilan politik negara.
PETALING
JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim
berdoa supaya wakil rakyat dan menteri di negara ini ikhlas dalam
mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya mengutamakan akaun bank
peribadi dan projek yang dilobi.
Baginda turut menegur ahli politik yang umpama lalang ditiup angin,
tanpa pendirian dan rasa tanggungjawab, serta mengutamakan populariti
seperti selebriti.
“Sebagai ahli politik, anda perlu turun padang dan mendengar suara
dan keluhan rakyat; rakyat yang meletakkan anda di kedudukan selesa anda
sekarang.
“Saya juga berdoa supaya suatu hari nanti, tiadalah mereka yang korup
dan bersifat perkauman di kalangan kita. Ingatlah bahawa Johor
berkembang maju seperti yang kita lihat pada hari ini adalah hasil kerja
keras dan keharmonian semua kaum, seluruh Bangsa Johor,” tulis baginda
menerusi posting di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
TMJ juga melahirkan kebimbangan dengan ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika ini.
Baginda berkata, kepincangan politik yang berlarutan tidak boleh mengubah nasib rakyat menerusi pemberontakan atau demonstrasi.
Nasib rakyat hanya boleh berubah menerusi bidang pendidikan, kata baginda.
“Apabila diri dilengkapi ilmu dan pendidikan yang baik, kita akan
lebih bersedia dan mempunyai pengetahuan untuk menentukan hala tuju
negara kita,” katanya.
TMJ berkata, baginda amat risau dengan tahap pendidikan yang semakin
membimbangkan di negara ini dan mentaliti yang dibentuk daripadanya.
“Pendidikan tidak boleh dikompromi demi tujuan dan kepentingan politik,” kata baginda.
TMJ menasihatkan rakyat supaya rebut apa jua peluang untuk mencapai
kecemerlangan dalam bidang pendidikan, kerana ilmu adalah kuasa, dan
merupakan senjata paling ampuh untuk menjadikan Johor negeri yang lebih
maju.
“Saya berjanji akan berusaha bersama kerajaan negeri supaya
pendidikan diberikan perhatian penting yang selayaknya, demi masa depan
Johor; kerana akan tiba masanya anda semua perlu menentukan masa depan
dan apa yang terbaik untuk diri anda dan negeri Johor,” kata baginda.
TMJ berkata, baginda tahu terdapat pihak yang tidak mahu istana Johor bersuara.
“Apa yang mereka tidak faham adalah teguran kami bukanlah hendak
menyerang peribadi. Kita hanyalah bersuara demi kepentingan rakyat, kita
tidak meraih sebarang keuntungan daripadanya,” kata TMJ.
No comments:
Post a Comment