28/1/16

Peguam veteran Datuk Param Cumaraswamy berpendapat bahawa Peguam
Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kuasa untuk
mengarahkan sebuah agensi penyiasat, seperti Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia untuk menutup failnya.
Bekas Pelapor Khas
Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi kebebasan hakim dan peguam itu
berkata Apandi perlu lebih telus memandangkan persepsi negatif orang
ramai berhubung siasatan dana yang disalurkan ke akaun bank peribadi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Perkara
145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara
mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk
memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi
sesuatu kesalahan, selain prosiding di mahkamah Syariah, mahkamah anak
negeri atau mahkamah tentera .
"Beliau sudah tentu tidak mempunyai
kuasa untuk mengarahkan agensi lain, seperti SPRM, untuk menutup fail
mengenai siasatannya. Jika bukti didapati tidak mencukupi untuk
pendakwaan, adalah wajar untuk Peguam Negara menasihati SPRM supaya
mengumpulkan bukti selanjutnya.
"Sebagai seorang bekas hakim
Mahkamah Persekutuan, Apandi sepatutnya lebih tahu!," kata Param yang
juga adalah bekas presiden Majlis Peguam dan pemenang Hadiah Gruber
untuk keadilan.
Pendapatnya juga dikongsi oleh seorang lagi
peguam, Hanif Khatri Abdulla, yang berkata Apandi sebagai peguam negara
tidak mempunyai urusan untuk campur tangan dengan siasatan mana-mana
agensi penyiasat.
"Peguam
Negara hanya boleh membuat keputusan sama ada untuk mengenakan dakwaan
atau tidak ke atas Najib berdasarkan kertas siasatan yang dikemukakan
kepadanya. Peguam Negara tidak mempunyai urusan untuk mengarahkan SPRM
menutup siasatan," kata Hanif.
Param dan Hanif diminta mengulas
keputusan Apandi dalam mengarahkan SPRM untuk menutup kes terhadap
Najib, selepas memutuskan untuk tidak mendakwa perdana menteri.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment