Seorang pemimpin perlu berani memberi cadangan untuk kebaikan rakyat walaupun sedar ia akan berhadapan dengan kritikan
KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Maslan kecewa dengan segelintir pengguna
media sosial yang menjadikan dirinya sebagai sasaran kritikan negatif
dengan memutar belit kenyataan dan saranannya.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata,
niatnya baik apabila mencadangkan rakyat melakukan dua kerja untuk
menambah pendapatan sebagai cara untuk berdepan dengan kos sara hidup
yang semakin meningkat.
“Jika anda lihat apa saya cakap dan tulis di Twitter, tiada yang
negatif tetapi telah diputar belit sehingga menjadi negatif dan ia
membuatkan saya kecewa.
“Saya menjadi sasaran pengguna media sosial yang marah sejak GST
diperkenalkan yang membuatkan saya benar-benar tidak suka,” katanya
selepas Majlis Anugerah Buku Negara di PWTC pada Isnin.
Ahmad Maslan berkata, rakyat sepatutnya membaca dan memahami
keseluruhan mesej yang ingin disampaikan bukannya mengambil aspek
tertentu di luar konteks yang lari daripada maksud asal dan membawa
kepada salah faham.
“Apa yang mahu sampaikan ialah selain kerja utama, rakyat boleh
menjalankan perniagaan secara atas talian mengikut peraturan yang
ditetapkan pada waktu malam atau hari minggu,” jelasnya.
Di sebalik kritikan, beliau tetap akan memberikan saranan kepada
rakyat Malaysia menerusi media sosial bagi membantu rakyat berdepan
dengan kehidupan yang mencabar.
“Inilah beza antara pengikut dan pemimpin. Jika tidak berani
menyuarakan pendapat (kerana takut dikritik) lebih baik jadi pengikut.”
katanya.

No comments:
Post a Comment