EXCO Kerajaan Selangor enggan mendedahkan parti mana yang memberikan kerusi kepada AMANAH
PETALING JAYA : Lapan kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan
(PBT) diberikan kepada wakil Parti Amanah Negara (AMANAH) hasil
persetujuan antara PKR, PAS dan DAP.
EXCO Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan
Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah berkata, lima kerusi yang akan
diberikan kepada AMANAH di Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah
Kuala Langat, Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Hulu Selangor
dan Majlis Daerah Kuala Selangor.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan parti mana yang menyerahkan kerusi ahli majlis kepada AMANAH.
“Tidak penting untuk tahu parti mana yang serahkan kerusi untuk AMANAH tapi perkara ini telah diputuskan kerajaan negeri.
“Penggal baharu 2016-2017 akan bermula 15 Januari ini dengan 288
kerusi akan diisi namun berbaki dua lagi kerusi milik PKR dan DAP yang
belum diputuskan nama ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan
Majlis Daerah Kuala Langat,” katanya lapor Sinar Harian Online.
Menurutnya, isu pembahagian kuota untuk AMANAH itu telah selesai
hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang
dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada
Rabu.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi Ahli Majlis, Majlis Bandaran
Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Kuala Langat, nama ahli majlis
masih lagi belum muktamad.
“286 kerusi sudah dimuktamadkan bagaimanapun sebelum 15 Januari ini semua senarai nama akan dipenuhkan,” katanya.
Sebelum ini, AMANAH mengemukakan permohonan 34 kerusi dengan dua ahli
majlis untuk setiap PBT namun diluluskan hanya lapan kerusi sahaja.

No comments:
Post a Comment